BERITA TERKINI   iQIYI dan penerbit mohon maaf, setuju tarik sementara drama 'Madu atau Racun' untuk disunting semula - CEO FINAS | Operasi pembenihan awan di Sarawak: Kelompok awan dikesan ketika ini tidak sesuai untuk operasi berkenaan - Fahmi | Sambutan Hari Malaysia diteruskan di BCCK, namun acara luar bangunan dibatalkan susulan keadaan jerebu - Fahmi | Petronas bersedia untuk mengekalkan pengeluaran minyak dan gas Malaysia hampir 2.0 juta boe/h hingga 2028 - tengku Muhammad Taufik | Kerjasama AirAsia dengan Pegasus Airlines akan membuka akses ke 160 destinasi merentasi 56 negara melalui rangkaian gabungan kedua-dua syarikat penerbangan itu | 

Belanjawan 2027 Perlu Perkukuh Jaringan Pelabuhan, Pengangkutan -- Pengendali

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Kalangan pengendali pelabuhan berharap kesalinghubungan antara pelabuhan dan infrastruktur utama pengangkutan akan diberi keutamaan dalam Belanjawan 2027 bagi penambahbaikan rantaian bekalan.

Mereka berpendapat, belanjawan yang bakal dibentangkan pada 9 Oktober depan perlu memberi penekanan terhadap aspek ini dalam memastikan ekosistem logistik Malaysia selari dengan perkembangan perdagangan dan pelaburan.

Ad Banner

Ketua Pegawai Komersial Kuantan Port Consortium Sdn Bhd Mazlim Husin berkata, hubungan yang lebih baik antara pelabuhan, rangkaian rel dan kawasan perindustrian adalah penting bagi melancarkan lagi pergerakan kargo, khususnya susulan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka memperkukuh hubungan antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.

“Kesemua inisiatif yang kami perlukan daripada kerajaan bagi menggalakkan kesalinghubungan pelabuhan dengan infrastruktur utama lain seperti ECRL adalah amat penting.

“Aspek penjajaran di sepanjang ECRL, pembangunan industri adalah penting untuk usaha promosi kerajaan kerana ini penting bagi membolehkan kargo dapat diangkut dengan ECRL,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ditanya mengenai harapannya untuk Belanjawan 2027, Mazlim berharap kerajaan dapat meningkatkan lagi aspek kesalinghubungan antara infrastruktur utama bagi memastikan rantaian bekalan lebih cekap pada masa hadapan.

Menurutnya, hubungan infrastruktur antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak ketika ini hampir tidak wujud, sekali gus menekankan keperluan untuk mengintegrasikan pelabuhan dengan infrastruktur pengangkutan utama lain dengan lebih baik.

 

Kelebihan Pelabuhan Kuantan

 

Selain itu, Mazlim berkata Pelabuhan Kuantan dapat memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesalinghubungan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak, susulan kelebihan geografi berbanding pelabuhan di Pantai Barat semenanjung.

“Pada masa ini, sebahagian besar kargo dari Semenanjung Malaysia melalui pelabuhan di Pantai Barat.

“Namun, jika anda teliti jarak fizikal antara Pelabuhan Kuantan dan pelabuhan di Sabah dan Sarawak, ianya lebih dekat dan dapat mengurangkan masa perjalanan kapal selain kos seperti bahan api,” katanya.

Mazlim berkata jarak lebih singkat itu turut memberi kelebihan dari segi kesalinghubungan lebih baik melalui Pelabuhan Kuantan apabila mengambil kira pergerakan kargo besar antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak.

“Ada banyak pergerakan kargo antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, termasuk kereta,” katanya.

ECRL pula akan meningkatkan lagi hubungan timur-barat ini apabila beroperasi sepenuhnya kelak.

"Ini hanya meningkatkan lagi kecekapan kerana pada 2028, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan akan dihubungkan menerusi rel,” katanya.

Mazlim berkata Pelabuhan Kuantan juga mempunyai kapasiti sedia ada untuk mengendalikan jumlah kargo tambahan selain ruang fizikal mencukupi yang boleh diperluaskan di masa depan.

Selain kesalinghubungan domestik, beliau berkata pelabuhan Kuantan turut meneroka untuk meningkatkan aspek sama dengan China menerusi Pelabuhan Jinzhou dan Chongqing melalui koridor pedalaman antarabangsa.

“Menerusi kerjasama dengan syarikat China, kami turut meneroka dan mempunyai hubungan antara Malaysia dengan China melalui Pelabuhan Jinzhou dan ke Chongqing menerusi koridor pedalaman antarabangsa.

“Ini juga penting bagi perdagangan antara China dan Malaysia,” katanya.

 

Infrastruktur Sokongan Perlu Bergerak Seiring

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Westports Malaysia Sdn Bhd Vijaya Kumar Puspowanam berharap Belanjawan 2027 dapat memberi penekanan lebih besar kepada infrastruktur yang menyokong ekosistem pelabuhan dan rantaian bekalan, khususnya kapasiti serta penyelenggaraan jalan raya.

Beliau berkata Westports bersedia membiayai sepenuhnya pelaburan bagi memperluas kapasiti pelabuhan tanpa membebankan kerajaan, justeru sumber kerajaan boleh disalurkan kepada infrastruktur sokongan lain.

"Kami akan menguruskannya. Tiada beban ke atas kerajaan. Kerajaan hanya memberi kami beberapa jenis insentif untuk mendorong kami membuat pelaburan tersebut," katanya.

“Apa yang kami harapkan ialah penjimatan kerajaan daripada tidak perlu membuat pelaburan dalam pelabuhan dapat disalurkan kepada sektor lain yang menyokong ekosistem kami, khususnya ekosistem rantaian bekalan,” katanya.

Menurut Vijaya, pelaburan dalam sektor seperti pusat data turut menjana pergerakan kargo apabila bahan dan peralatan untuk projek berkenaan perlu dibawa masuk ke negara ini.

Meskipun Westports mempunyai pelan induk untuk menyediakan kapasiti pelabuhan yang mencukupi bagi tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang, infrastruktur di sekitarnya masih belum berkembang seiring, kata beliau.

“Kerajaan mungkin perlu memperuntukkan lebih banyak belanjawan, khususnya untuk penyelenggaraan atau sekurang-kurangnya meningkatkan kualiti jalan raya.

“Bagi Pelabuhan Klang, kapasiti jalan raya telah ketinggalan selama bertahun-tahun. Walaupun kami berusaha mengatasinya, kemajuannya tidak cukup pantas,” katanya.

Beliau turut menekankan aspek penyelenggaraan yang perlu diberi perhatian memandangkan kira-kira 10,000 hingga 11,000 lori memasuki pelabuhan setiap hari, menyebabkan jalan raya di sekitarnya mengalami kerosakan yang ketara.

"Jadi kami berharap kerajaan turut mempertimbangkan usaha meningkatkan  penyelenggaraan kerana ia sangat penting.

“Seperti yang saya katakan, jumlah lori yang keluar masuk pelabuhan setiap hari sangat tinggi dan ini menyebabkan infrastruktur mengalami kehausan. Oleh itu, kemudahan yang dibina perlu lebih kukuh dan tahan lasak bagi menampung trafik berat secara berterusan,” kata Vijaya.

Menurut beliau, penambahbaikan infrastruktur turut dapat mengatasi cabaran menarik pemandu lori menyertai industri berkenaan kerana kesesakan boleh menyebabkan mereka terperangkap dalam trafik selama dua hingga empat jam.

“Jika kesulitan seperti ini dapat diatasi, kita mungkin dapat mewujudkan ekosistem yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, Mazlim berkata kerajaan juga perlu terus peka terhadap perkembangan geopolitik, termasuk kesan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

“Justeru, kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian insentif bagi memastikan kami tidak terjejas akibat tarif berkenaan. Ini merupakan faktor yang sangat penting bagi perdagangan,” katanya.

-- BERNAMA