PHB Umum 400 Juta Unit Baharu AHB
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), syarikat di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), hari ini mengumumkan penambahan 400 juta unit baharu Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) untuk ditawarkan kepada pelabur Bumiputera.
Menurut kenyataan dikeluarkan PHB, penambahan itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan PHB dalam memperluaskan peluang pemilikan benefisial hartanah kepada lebih ramai Bumiputera menerusi pelaburan dalam aset hartanah komersial berkualiti di lokasi strategik seluruh negara.
Sejak diperkenalkan pada 2010 dengan saiz dana permulaan sebanyak satu bilion unit, AHB telah melalui enam kali penambahan unit.
“Penambahan unit baharu tersebut disokong oleh suntikan nilai daripada dua aset PHB, iaitu terkini Hospital Aurelius, Alor Setar, Kedah serta penilaian semula bangunan logistik Maersk di Shah Alam,” menurut PHB.
AHB merupakan dana unit amanah patuh Syariah berasaskan hartanah yang pertama di Malaysia, dana itu disokong oleh portfolio hartanah komersial utama menjana pendapatan sewaan secara konsisten, serta menawarkan pulangan yang mampan kepada pemegang unit.
Pelaburan minimum bagi AHB ialah RM100, manakala had maksimum pelaburan ditetapkan pada RM1 juta bagi setiap individu, dana AHB diuruskan oleh PHBAM selaku pengurus dana.
Orang ramai yang berminat melanggan unit AHB boleh berbuat demikian di mana-mana cawangan pengedar sah AHB di seluruh negara, iaitu Maybank, AmBank, AmBank Islamic, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad.
Selain itu, bagi pelanggan Maybank sedia ada, mereka boleh melanggan AHB melalui laman web Maybank2u, selain itu mereka juga boleh menyemak pegangan unit semasa dan melanggan unit baharu melalui portal tersebut, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA