TNG eWallet: Perbelanjaan Pelawat Asing Cecah Lebih RM1 Bilion Pada Separuh Pertama
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Kalangan pengunjung antarabangsa yang juga pengguna TNG eWallet, membelanjakan lebih RM1 bilion menerusi aplikasi berkenaan dalam tempoh enam bulan pertama Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26).
Dalam kenyataan hari ini, TNG Digital Sdn Bhd memaklumkan ini berikutan semakin ramai pelancong menggunakan ekosistem pembayaran Kod Respons Pantas (QR) domestik Malaysia untuk berbelanja secara mudah di premis perniagaan di seluruh negara.
Jumlah itu merangkumi hampir separuh daripada RM2.58 bilion perbelanjaan pelancong asing yang dicatatkan melalui TNG eWallet sejak diperkenalkan pada April 2025, menurut pengendali aplikasi perkhidmatan kewangan digital dan gaya hidup itu.
“Singapura, Indonesia, Brunei, China, Thailand dan Australia adalah antara pasaran pengunjung terbesar dalam tempoh berkenaan dengan pengembara daripada setiap negara itu menggunakan ekosistem QR tempatan Malaysia.
“Walaupun pengunjung antarabangsa ini semakin menjangkakan pengalaman pembayaran tanpa tunai, banyak perniagaan kecil, mikro dan tidak rasmi yang secara sejarahnya tidak dapat menerima pembayaran menggunakan kad berikutan kos infrastruktur bagi penerimaan kad,” maklum TNG Digital.
Berikutan itu, TNG Digital menyatakan sebahagian besar perbelanjaan pelancong sebelum ini tertumpu kepada peniaga berskala besar yang menerima kad asing secara mudah dengan 76 peratus transaksi berlaku di lokasi fizikal peniaga berbanding secara dalam talian.
Perkembangan itu menunjukkan bahawa perbelanjaan itu turut disalurkan kepada ekosistem perniagaan fizikal di seluruh Malaysia.
“Sektor peruncitan menyumbang sebanyak 43 peratus daripada nilai transaksi yang masuk manakala peniaga makanan dan restoran menyumbang 40 peratus dan menunjukkan bagaimana pembayaran digital ini dapat membantu menyalurkan perbelanjaan pelancongan kepada perniagaan harian rakyat Malaysia,” menurutnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Alan Ni menyifatkan kejayaan TMM26 itu tidak hanya diukur dari segi bilangan pelancong yang bertandang ke Malaysia, sebaliknya sejauh mana manfaat ekonomi itu dapat dikongsi dengan setiap pengunjung dapat berbelanja secara mudah yang turut memberi manfaat kepada perniagaan Malaysia.
“Banyak perniagaan kecil, penjaja dan gerai pasar malam yang secara tradisinya terkecuali daripada perbelanjaan pelancong asing kerana tindakan menerima pembayaran kad adalah mahal selain mencabar dari segi operasi.
“Langkah memperluaskan ekosistem pembayaran QR Malaysia kepada pengunjung antarabangsa ini membolehkan kami membantu menghubungkan pelancong secara terus dengan perniagaan pelbagai saiz atau skala di seluruh Malaysia,” katanya.
Sejajar dengan lanjutan TMM26, TNG Digital akan terus memperluaskan penyertaan peniaga serta menambah baik pengalaman pembayaran untuk kemudahan pengunjung antarabangsa.
-- BERNAMA