BERITA TERKINI   Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 3 di Tok Bali, Pasir Puteh dijangka mula beroperasi November ini - Saifuddin Nasution | KDN sedia hadapi ancaman penyusupan, pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand - Saifuddin Nasution | Dua remaja selamat insiden lemas Tanjung Lompat masih dirawat di Hospital Kota Tinggi - Exco | Tragedi Tanjung Lompat: Kerajaan Johor beri sokongan psikologi, kaunseling kepada mangsa selamat dan ahli keluarga - Exco | Pelaksanaan Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) bukan menghukum, tetapi tambah baik kualiti kepimpinan tertinggi sektor awam - KSN | 

MIGJA Harap Belanjawan 2027 Kekalkan Pengecualian Cukai Barang Kemas Emas

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Persatuan Tukang Emas dan Barang Kemas India Malaysia (MIGJA) berharap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada bulan depan, terus mengekalkan pengecualian cukai ke atas barang kemas emas bagi mempertahankan daya saing industri.

Pada masa sama, persatuan itu menyifatkan langkah berkenaan juga dapat mengekalkan permintaan di peringkat domestik serta dalam kalangan pelancong asing.

Ad Banner

Presidennya Datuk Abdul Rasull Abdul Razak berkata pengecualian cukai terhadap barang kemas emas itu hanya menjadikan produk berkenaan di negara ini menjadi lebih kompetitif dari segi harga berbanding beberapa pasaran serantau lain.

“Buat masa ini, kami melihat industri emas berada pada hala tuju yang amat positif kerana kerajaan Malaysia tidak mengenakan cukai seperti cukai nilai tambah (VAT) atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Ini hanya menjadikan Malaysia sebagai lokasi yang selesa dari segi penjualan barang kemas. Orang ramai membelinya manakala pelancong asing juga ke sini untuk membuat pembelian barangan terbabit,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Laporan sebelum ini menyatakan jumlah perdagangan barangan kemas Malaysia meningkat 10 peratus kepada RM12.13 bilion dalam separuh pertama 2026 susulan lonjakan 22.5 peratus kepada RM22.46 bilion pada 2025 yang dipacu oleh pertumbuhan eksport dan import yang kukuh.

Abdul Rasull berkata kalangan pelancong asing, terutama dari India dan China, tertarik untuk berkunjung ke Malaysia berikutan harga yang kompetitif selain kualiti barangan kemas yang dijual di sini.

Beliau berkata tahap piawaian ketulenan emas 916 yang diiktiraf secara meluas, turut mengukuhkan lagi keyakinan pengguna terhadap barangan kemas Malaysia.

“Oleh itu, harapan kami adalah Belanjawan 2027 ini akan menyaksikan kerajaan tidak mengenakan sebarang cukai agar industri ini kekal terjamin dan tidak lumpuh. Bagi saya, inilah keutamaannya,” katanya ketika ditanya mengenai harapan MIGJA bagi belanjawan itu yang akan dibentangkan pada 9 Oktober 2026.

Abdul Rasull turut mengingatkan, sebarang tindakan mengenakan cukai perbelanjaan terhadap barang kemas emas akan meningkatkan lagi harganya selain melebarkan lagi jurang antara harga belian dan belian semula, sekali gus berpotensi merencatkan keinginan pengguna.

Beliau berkata ini juga memberi impak besar kerana barang kemas emas bukan setakat satu bentuk pembelian biasa sebaliknya dianggap ramai sebagai satu bentuk simpanan yang akan dijual atau dipajak apabila dana diperlukan.

“Anda beli barang kemas kecil yang mungkin bernilai kira-kira RM2,000. (Namun) apabila menjualnya, anda mungkin mendapat semula sekurang-kurangnya RM1,800.

“Apabila cukai dan perbelanjaan lain digabungkan, anda mungkin peroleh hanya RM1,500. Ini semua faktor yang perlu diambil kira dalam industri barang kemas,” katanya.

Beliau berkata MIGJA turut melakukan libat urus dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi mengetengahkan potensi perubahan yang boleh dihadapi industri itu sekiranya cukai dikenakan.

“Kami berkongsi dengan mereka mengenai pelbagai kesukaran serta isu yang bakal kami hadapi. (Malah) apabila cukai itu diperkenalkan, sukar untuk bertindak sebaliknya,” katanya.

Perkongsian beliau itu diketengahkan ketika pelbagai pandangan dilontarkan mengenai semakan sistem percukaian Malaysia.

Pada 18 Ogos 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan terbuka dalam melaksanakan kajian terhadap keperluan menggabungkan GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk memastikan sistem percuakaian negara yang lebih progresif.

Malaysia sebelum ini mengenakan cukai GST sebanyak enam peratus mulai 1 April 2015 dengan barang kemas emas secara amnya tertakluk kepada cukai berkenaan manakala pelaburan logam berharga itu dikecualikan cukai.

Kadar GST telah dikurangkan kepada sifar peratus pada 1 Jun 2018 sebelum digantikan oleh SST mulai 1 September 2018 manakala jongkong emas dan barang kemas emas selanjutnya dikecualikan daripada cukai jualan.

Di bawah Belanjawan 2024, kerajaan turut mengumumkan cadangan mengenakan Cukai Barangan Bernilai Tinggi lima hingga 10 peratus bagi barangan terpilih, termasuk barang kemas dan jam berharga.

Cukai itu pada awalnya dijadualkan untuk dilaksanakan mulai 1 Mei 2024 namun beberapa kali ditangguhkan sebelum Kementerian Kewangan pada 1 Julai lepas mengesahkan cukai itu tidak akan dilaksanakan.

Susulan daripada perluasan skop SST mulai 1 Julai 2025, kerajaan telah mengekalkan pengecualian cukai bagi jongkong dan barang kemas emas dengan mengambil kira peranannya sebagai instrumen pelaburan dan simpanan selain pertimbangan dari segi budaya dan ekonomi.

Abdul Rasull menyifatkan tindakan mengekalkan pengecualian itu akan hanya menyokong pembelian di peringkat domestik, menggalakkan pelancong asing berbelanja selain membantu Malaysia mengukuhkan kedudukan dalam pasaran emas serantau dan barang kemas.

“Industri ini akan berkembang, malah perlu berkembang. Kita tidak seharusnya menjadi penyebab kelumpuhannya kerana akan memberi impak besar dari segi nilai selain potensi hasil dalam industri,” katanya.

-- BERNAMA