BNM Kekalkan OPR Pada 2.75 Peratus
KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuaratnya hari ini.
Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan ekonomi global kekal berdaya tahan, disokong pengembangan teknologi global yang kukuh, keadaan bekalan yang bertambah baik dan pasaran pekerja yang stabil.
Katanya, inflasi menurun sedikit dalam beberapa bulan kebelakangan ini tetapi dijangka kekal tinggi berikutan kesan tertunda pindahan kos tenaga kepada harga pengguna.
“Pada masa hadapan, meskipun ketidaktentuan berkaitan konflik Asia Barat akan terus menjejaskan pertumbuhan global di tengah-tengah tekanan inflasi yang berterusan, kesannya dijangka diimbangi oleh perbelanjaan berkaitan teknologi yang mampan,” katanya.
BNM berkata risiko pertumbuhan global menjadi rendah terus wujud, berpunca daripada ketegangan geopolitik yang berlarutan, keadaan kewangan global yang lebih ketat dan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan.
Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi tinggi termasuk perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh, pemulihan keadaan rantaian bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan dan langkah-langkah dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju.
Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.
MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Dalam pada itu, BNM berkata ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama 2026 meskipun berdepan persekitaran global yang mencabar.
Pertumbuhan didorong oleh prestasi eksport yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam keadaan permintaan dalam negeri yang mampan, kata bank pusat itu.
“Momentum pertumbuhan yang utuh dijangka menyebabkan pertumbuhan bagi 2026 pada sekitar lima peratus, dan asas-asas ekonomi yang mantap dijangka mengekalkan daya tahan pertumbuhan pada tahun 2027.
“Hal ini akan didorong oleh sektor luaran, yang akan meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang bertambah baik dan permintaan yang mantap terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta eksport bukan E&E berkaitan teknologi yang terus kukuh dan perbelanjaan pelancong yang berterusan,” katanya.
Menurut BNM keadaan pasaran pekerja yang stabil dan aktiviti pelaburan yang berterusan akan terus menyokong permintaan dalam negeri.
Prospek pertumbuhan ini terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah disebabkan oleh konflik Asia Barat yang berlarutan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah.
Prospek pertumbuhan menjadi tinggi boleh disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih baik daripada jangkaan, permintaan terhadap eksport berkaitan teknologi yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat, katanya.
Bank pusat itu berkata inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini masing-masing berpurata pada 1.8 peratus dan dua peratus.
Meskipun kos kekal tinggi dan pertumbuhan ekonomi kukuh, pindahan kepada harga pengguna dibendung oleh langkah-langkah dasar dalam negeri serta keadaan permintaan yang stabil berikutan limpahan yang terhad daripada kekukuhan sektor luaran terhadap upah.
“Perkembangan berhubung dengan konflik di Asia Barat kekal tidak menentu kerana harga komoditi global yang tinggi terus memberikan tekanan menaik terhadap keadaan kos.
“Berikutan perkembangan yang masih berubah-ubah, MPC akan terus memantau keadaan tekanan kos dan permintaan dalam negeri memandangkan kesan kedua-dua faktor ini terhadap prospek inflasi,” katanya.
-- BERNAMA