BERITA TERKINI   Tragedi Tanjung Lompat: Mayat Muhammad Adib Hafiy Kamal ditemukan pada 11.15  pagi - polis | MAG Culinary Solutions perluas keupayaan penyediaan makanan dalam penerbangan dengan kemudahan baharu dijangka siap pada suku keempat 2028 - Kapten Nasaruddin | Malaysia Airlines sambung semula penerbangan ke Busan mulai Disember 2026, Firefly perkenal penerbangan terus ke Kunming - Kapten Nasaruddin | Kementerian Ekonomi teliti persiapan tangani negara menua dalam Belanjawan 2027 -- Akmal Nasrullah | Serian catatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 518 iaitu tahap bahaya setakat 10 pagi ini- portal APIMS | 
Ad Banner

Industri Digital Guizhou, China Cecah Skala 300 Bilion Yuan

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Kluster industri digital Guizhou kini mencapai skala 300 bilion yuan (kira-kira RM180 bilion), manakala kapasiti pengkomputeran wilayah di barat daya China itu melepasi 176 EFLOPS.

Kapasiti 176 EFLOPS bersamaan keupayaan teori untuk melaksanakan kira-kira 176 kuintilion pengiraan sesaat. (EFLOPS - unit ukuran untuk kelajuan dan prestasi kuasa pengkomputeran sesebuah superkomputer atau pusat data).

Dalam satu kenyataan, Timbalan Gabenor Guizhou Luo Qiang berkata wilayah itu telah membina asas yang kukuh dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan industri data raya, dengan memberi lebih penekanan terhadap penggunaan model besar dalam industri tertentu.

Ad Banner

Pada masa sama, Guizhou akan mempergiat inisiatif “AI Plus”, mempercepat pembangunan ekonomi token dan terus meneroka bentuk baharu ekonomi pintar.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, Ketua Pentadbiran Data Nasional China Liu Liehong berkata data semakin menjadi sumber asas dan pemacu inovasi, sekali gus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi digital.

Pentadbiran itu katanya, akan giat menggalakkan pembangunan dan penggunaan sumber data, di samping menggalakkan integrasi lebih meluas antara data sektor awam, korporat dan bentuk data lain.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Usaha itu bertujuan membantu lebih banyak industri membangunkan kitaran nilai lengkap yang merangkumi pengesahan hak data, penetapan harga data, pengagihan hasil, peredaran dan penggunaan data serta tadbir urus keselamatan data.

Liu berkata langkah itu akan membantu membuka lebih banyak nilai daripada data dan menyumbang kepada pembangunan berkualiti tinggi China.

Terdahulu, kedua-dua pegawai itu hadir pada acara Big Data Expo 2026 DATA Night di Guiyang, Guizhou pada 28 Ogos, yang menghimpunkan lebih 500 wakil daripada sektor kerajaan, industri, akademik, penyelidikan dan aplikasi dari China serta luar negara.

Acara itu memberi tumpuan kepada rangka kerja institusi bagi elemen data, kemajuan teknologi dalam kecerdasan buatan berasaskan dunia fizikal, serta aplikasi sebenar teknologi berkenaan dalam industri.

Dianjurkan oleh People’s Daily Online dan Guizhou Big Data Group, acara itu bertemakan “Data Powers Embodied Intelligence, Intelligence Empowers the Real Economy”.

Program itu turut membawa wartawan Bernama ke Gui’an dan beberapa lokasi lain di Guizhou untuk melihat perkembangan industri digital dan kecerdasan buatan di wilayah berkenaan.

-- BERNAMA