GTA Holdings Rancang Bangun Pusat Kecemerlangan Untuk Pacu Kemampuan MRO
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aeroangkasa, GTA Holdings Bhd (GTA) bercadang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan (CoE) berikutan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Kemudahan baharu ini dijangka mampu meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan serta teknologinya dalam sektor MRO.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA Holdings Bhd, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata pelan pembangunan pasca penyenaraian itu akan membolehkan GTA meletakkan dirinya sebagai pemain industri utama yang disokong oleh rakan kongsi pengeluar peralatan asalnya (OEM), sambil menyumbang ke arah kemandirian Malaysia dalam industri pertahanan.
“CoE akan membolehkan kami meletakkan diri kami sebagai pemain utama dalam penyelidikan dan teknologi, dengan sokongan rakan kongsi OEM kami. Kami akan melabur dalam kemudahan baharu merangkumi program R&D serta latihan.
“Pelan ini adalah sebahagian daripada Dasar Industri Pertahanan Negara (NDIP) kami memandangkan kami digalakkan untuk lebih berdikari melalui pembangunan keupayaan tempatan dan pemindahan teknologi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Nonee Ashirin berkata syarikat itu sedang meneroka pelaburan dalam ujian Tahap 4 dan peralatan yang diperlukan seperti Unit Hidromekanikal (HMU).
HMU ialah komponen enjin helikopter yang mengawal aliran minyak ke dalam turbin.
“HMU merupakan keupayaan khusus yang biasanya dipegang oleh OEM kerana mereka secara amnya enggan memindahkan kepakaran ini kepada pihak ketiga.
“Bagaimanapun, kami sedang dalam rundingan dan, diharapkan, kami akan dapat meneruskan pelaburan. Saya tidak boleh mendedahkan kos pada peringkat ini disebabkan masih dalam perbincangan,” katanya.
Pengukuhan Hubungan dengan Kementah, Sektor Pertahanan
Nonee Ashirin menekankan GTA kekal komited untuk mengukuhkan keupayaan terasnya dalam sektor MRO selain membangunkan bidang tambahan seperti gear pendaratan, roda dan brek, terutamanya dengan mengekalkan hubungan baik dengan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH).
GTA mempunyai lebih sedekad pengalaman berkhidmat dengan KEMENTAH dan menerima kepercayaan daripada Angkatan Tentera Malaysia.
“Kami berada pada kedudukan yang baik selepas mewujudkan kepercayaan dengan pelanggan kami selama ini. Pihak OEM memahami bahawa kami mempunyai hubungan yang sangat baik dan kami telah mampu membina kepakaran teknikal. Jadi, kami telah menjadi penyedia tunggal untuk OEM di Malaysia.
“Kami juga melabur dalam meningkatkan pembangunan modal insan kami. Ini akan mengukuhkan lagi keupayaan syarikat untuk menyokong keperluan operasi pelanggan memandangkan aeroangkasa dan pertahanan Malaysia perlu berkembang,” kata Nonee Ashirin.
Pengembangan MRO Brunei
Nonee Ashirin ketika mengulas mengenai pengembangan serantau menjelaskan syarikat itu telah memperolehi kedudukan sebagai pengedar di Brunei khususnya dengan Tentera Udara Diraja Brunei.
“Tentera Udara Diraja Brunei mengendalikan enam helikopter, dengan setiap helikopter dikuasakan oleh dua enjin, yang bermaksud terdapat 12 enjin di Brunei yang perlu kami sokong,” katanya.
GTA dijadualkan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menjelang 8 Sept 2026, dan menyasarkan untuk mengumpul RM71.75 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).
IPO itu terdiri daripada terbitan 329 juta saham dalam GTA, merangkumi terbitan awam 205 juta saham biasa baharu dan 124 juta saham sedia ada pada harga terbitan 35 sen sesaham.
Dengan modal saham yang diperbeskan sebanyak 1.29 bilion saham, jumlah permodalan pasaran GTA semasa penyenaraian dijangka mencecah kira-kira 451.97 juta.
-- BERNAMA