BERITA TERKINI   Residen Miri sahkan semua mangsa helikopter terhempas meninggal dunia | Status kru dan penumpang helikopter serta punca kejadian belum dapat dipastikan, operasi SAR sedang dijalankan - Menteri Kesihatan | Operasi mencari dan menyelamat bergantung pada penduduk kampung buat masa ini - Polis Sarawak | Perjalanan ke lokasi kejadian ambil masa 10 jam dari Marudi, khidmat helikopter ke lokasi tidak dapat digunakan kerana jerebu - Polis Sarawak | Helikopter terhempas : Operasi mencari dan menyelamat masih diusahakan - Polis Sarawak | 
Ad Banner

Maybank, Ageas Meterai SPA RM4.83 Bln Bagi Ambil Alih Baki Pegangan MAHB

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Malayan Banking Bhd (Maybank) memeterai perjanjian jual beli saham (SPA) tanpa syarat dengan Ageas Insurance International NV yang berpangkalan di Belgium bagi mengambil alih baki 30.95 peratus kepentingan ekuiti dalam Maybank Ageas Holdings Bhd (MAHB) bernilai RM4.83 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Maybank memaklumkan perjanjian itu melibatkan pembelian 78 juta saham MAHB daripada Ageas.

Kumpulan perbankan itu memaklumkan SPA berkenaan ditandatangani hari ini selepas memperoleh kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Sept 2026, dengan pembelian tersebut dibiayai sepenuhnya menggunakan dana yang dijana secara dalaman.

Ad Banner

Menurut Maybank, cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan kumpulan memiliki MAHB sepenuhnya, sekali gus memberikan fleksibiliti strategik yang lebih besar.

“Pengambilalihan ini juga bertujuan mengukuhkan kedudukan MAHB sebagai pemain insurans dan takaful nasional, menyokong pengembangan di Asia Tenggara, meningkatkan nilai jangka panjang yang mampan dan berdaya tahan kepada kumpulan Maybank, serta mempertingkat kecekapan pengurusan modal merentasi perniagaan insurans dan takaful kumpulan.

“Pemilikan penuh MAHB dijangka memberikan Maybank dan MAHB ketangkasan strategik yang lebih besar untuk mempercepat inovasi produk, memperluas penembusan bancassurance, memperkembangkan penawaran takaful serta meningkatkan kecekapan modal dan operasi merentasi perniagaan insurans dan takaful,” menurutnya.

Ad Banner
Ad Banner

Maybank memaklumkan, tertakluk kepada keadaan yang tidak diduga, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada 11 Sept 2026.

Maybank Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, manakala Morgan Stanley Asia (Singapore) Pte dilantik sebagai penasihat kewangan antarabangsa.

-- BERNAMA