BERITA TERKINI   Status kru dan penumpang helikopter serta punca kejadian belum dapat dipastikan, operasi SAR sedang dijalankan - Menteri Kesihatan | Operasi mencari dan menyelamat bergantung pada penduduk kampung buat masa ini - Polis Sarawak | Perjalanan ke lokasi kejadian ambil masa 10 jam dari Marudi, khidmat helikopter ke lokasi tidak dapat digunakan kerana jerebu - Polis Sarawak | Helikopter terhempas : Operasi mencari dan menyelamat masih diusahakan - Polis Sarawak | Helikopter terhempas : Status semua mangsa masih belum dapat dipastikan - Polis Sarawak | 
Ad Banner

Bursa Malaysia Ditutup Hampir Tidak Berubah, Minat Belian Tumpu Saham Binaan

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani dan Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Dagangan Bursa Malaysia hampir tidak berubah pada sesi akhir Selasa ketika minat belian beralih daripada indeks saham wajaran tinggi kepada saham pembinaan bermodal kecil dengan sentimen terus diasak oleh ketidaktentuan geopolitik, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks penunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.39 mata kepada 1,714.40 daripada paras penutup 1,714.79, semalam.

Ad Banner

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.65 mata kepada 1,713.14 dan bergerak dalam julat 1,710.44 hingga 1,714.50 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Sentimen pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 548 berbanding 546 manakala 598 kaunter tidak berubah, 1,107 tidak diniagakan dan 25 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.13 bilion unit yang bernilai RM3.14 bilion daripada 3.60 bilion unit bernilai RM2.45 bilion, semalam.

Ad Banner
Ad Banner

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata minat dagangan kelihatan berganjak kepada saham teknologi dan pembinaan bermodal kecil, sekali gus menunjukkan bahawa pelabur bersedia mengambil kedudukan tertentu walaupun sentimen pasaran secara  meluas adalah berhati-hati.

“Bagi masa akan datang, perkembangan luaran dijangka terus mempengaruhi haluan jangka pendek dengan pelabur terus memantau situasi di Selat Hormuz selain pengumuman mengenai data inflasi Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau juga menyifatkan sebarang kenaikan angka inflasi AS yang mengatasi jangkaan, berpotensi mengukuhkan lagi andaian bahawa pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menaikkan kadar faedah, menyebabkan hasil Perbendaharaan AS kekal tinggi dan mungkin memberi tekanan lanjut kepada pasaran saham serantau.

“Bersandarkan latar belakang ini, FBM KLCI dijangka kekal dalam mod konsolidasi atau penyatuan dengan cenderung berhati-hati. Kedudukan di paras melebihi 1,710 sepatutnya mengekalkan kestabilan jangka pendek, namun peningkatan ke arah 1,715-1,720 diperlukan untuk melonjakkan lagi momentum lebih kukuh.

“Sebaliknya, jika paras 1,710 itu dapat ditembusi, indeks mungkin akan menguji semula paras psikologi pada 1,700. Oleh itu, kami menjangkakan indeks utama itu bergerak dalam julat 1,700-1,730 untuk tempoh berbaki bagi minggu ini,” katanya.

Thong berkata indeks utama di pasaran serantau juga susut apabila pelabur bertindak mengambil untung selepas kenaikan pasaran baru-baru ini.

Selain itu, sentimen turut dipengaruhi oleh harga minyak yang lebih tinggi dan hasil Perbendaharaan AS yang kukuh dan menguatkan lagi kebimbangan terhadap inflasi dan kemungkinan dasar monetari yang lebih ketat, katanya.

Saham wajaran tinggi menyakskan Maybank susut 4.0 sen kepada RM10.54, Public Bank kekal pada RM5.00, CIMB rugi 2.0 sen kepada RM7.98, Tenaga naik 6.0 sen kepada RM13.90, IHH Healthcare turun 6.0 sen kepada RM7.84 manakala Gamuda naik 21 sen kepada RM4.80.

Bagi saham paling aktif, Zetrix AI naik 3.5 sen kepada 30.5 sen, HHRG rugi 2.0 sen kepada 18.5 sen, Cuscapi meraih 1.0 sen kepada 5.5 sen, GIIB menokok 1.5 sen kepada 53.5 sen manakala GTA Holdings yang baru disenaraikan di Pasaran ACE susut 1.5 sen kepada 33.5 sen dengan 83.91 juta saham diniagakan.

Saham paling untung menyaksikan United Plantations naik RM1.10 kepada RM33.30, Nestle untung 26 sen kepada RM94.16, Solarvest meningkat 25 sen kepada RM3.55, Vitrox meningkat 24 sen kepada RM9.28, dan Sam Engineering naik 23 sen kepada RM4.57.

Sebaliknya, saham paling rugi dibarisi Malayan Cement yang merosot 51 sen kepada RM5.52, Hong Leong Industries jatuh 34 sen kepada RM17.06, Petronas Gas susut 26 sen kepada RM17.44, KPJ Healthcare kehilangan 11 sen kepada RM2.61 dan Mentiga menguncup 10 sen kepada 57.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Mid 70 meraih 50.05 mata kepada 17,826.91, Indeks FBM ACE meningkat 13.92 mata kepada 5,272.23, Indeks FBM Emas menokok 10.54 mata kepada 12,671.03, Indeks FBM Top 100 naik 6.64 mata kepada 12,473.69 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 40.30 mata kepada 12,450.83.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 41.27 mata kepada 20,147.47, Indeks Perladangan meningkat 87.95 mata kepada 9,476.63, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.46 mata kepada 187.42 dan Indeks Tenaga meningkat 9.56 mata kepada 818.77.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.76 bilion unit bernilai RM2.80 bilion berbanding 2.08 bilion unit bernilai RM2.14 bilion, semalam.

Waran pula merosot kepada 749.45 juta unit bernilai RM117.20 juta berbanding 849.55 juta unit bernilai RM114.67 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 616.21 juta unit bernilai RM226.13 juta daripada 665.26 juta unit bernilai RM196.54 juta, sebelumnya.

Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang sebanyak 261.07 juta saham di Pasaran Utama manakala produk perindustrian dan perkhidmatan sebanyak 255.19 juta saham, pembinaan (149.64 juta), teknologi (1.58 bilion), perkhidmatan kewangan (80.06 juta), hartanah (123.06 juta), perladangan (47.25 juta), amanah pelaburan hartanah (16.33 juta), dana tertutup (28,600), tenaga (85.77 juta), penjagaan kesihatan (57.41 juta), telekomunikasi dan media (28.52 juta), pengangkutan dan logistik (43.28 juta), utiliti (37.95 juta), serta amanah perniagaan (117,600).

-- BERNAMA