BERITA TERKINI   Komuniti antarabangsa perlu beranjak daripada kenyataan kepada tindakan konkrit dan mengikat - PM Anwar | Pendirian UK mengenai pembersihan etnik di Tebing Barat berlandaskan undang-undang antarabangsa, realiti - PM | PM Anwar sambut baik langkah Britain, Kanada dan Perancis sekat barangan dari petempatan haram Israel | PM Anwar sambut baik langkah 12 negara Barat menentang petempatan haram Israel | Anak syarikat Vestland Bhd, Vestland Resources Sdn Bhd mendapat kontrak RM410 juta daripada Golden Armani Sdn Bhd bagi kerja pembinaan di Jalan Ampang | 

Mondelez International Umum Pelaburan RM90 Juta Dalam Crumb Tower, Perkukuh Komitmen Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Mondelēz International merasmikan Crumb Tower bernilai RM90 juta yang kini siap sepenuhnya di kilang Cadbury Confectionery, Shah Alam, Selangor.

Perasmian ini secara tidak langsung memperkukuh keyakinan jangka panjang syarikat tersebut terhadap negeri berkenaan dan Malaysia sebagai pangkalan strategik bagi pembuatan coklat termaju.

Menara tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang mengiktiraf pelaburan itu sebagai cerminan keupayaan berterusan negeri berkenaan dalam menarik dan mengekalkan aktiviti pembuatan bernilai tinggi.

Ad Banner

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Mondelez International menyatakan pelaburan tersebut dibuat atas dasar pengoperasian pembuatan selama lebih 50 tahun di Selangor iaitu lokasi produk Cadbury dihasilkan sejak 1974.

Selain itu, kenyataan itu menambah, pelaburan itu juga memperkukuh kilang di Shah Alam menerusi tahap automasi yang lebih tinggi, teknologi proses termaju dan kecekapan operasi yang ditambah baik.

Menurutnya, kemudahan berkenaan menghasilkan serbuk adunan coklat iaitu ramuan utama yang sebelum ini diimport dari pasaran luar termasuk Afrika Selatan dan Australia.

Ad Banner
Ad Banner

"Ini sekali gus memperkukuh tahap kecukupan kendiri dan daya tahan rantaian bekalan selain  mewujudkan kapasiti untuk menyokong pasaran di luar Asia Tenggara.

“Menara Crumb Tower mewujudkan tiga sistem termaju iaitu sistem pengendalian serbuk berkapasiti tinggi yang tertutup sepenuhnya, reaktor-T generasi baharu iaitu reka bentuk pertama seumpamanya di Malaysia serta sistem pengendalian lemak termaju yang dibina mengikut piawaian keselamatan proses yang ketat,” jelasnya.

Kenyataan itu memaklumkan, tiga sistem termaju berkenaan turut membolehkan proses kawalan digital dan automasi tinggi yang memenuhi piawaian kualiti dan keselamatan makanan antarabangsa selain mengintegrasikan keperluan halal sepanjang proses pengeluaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pihaknya berbesar hati kerana dapat menyokong projek berkenaan.

“Pelaburan ini mencerminkan keyakinan berterusan syarikat terhadap Malaysia sebagai pangkalan pembuatan strategik selain membuktikan nilai yang mampu dibawa oleh pelaburan berkualiti menerusi teknologi termaju, pembangunan bakat tempatan, rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh serta peluang eksport pada masa hadapan.

“Apa yang penting, pengeluaran serbuk coklat secara tempatan itu mengukuhkan keupayaan pembuatan serta daya tahan rantaian bekalan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata sektor pembuatan makanan kekal sebagai antara subsektor yang paling berdaya tahan dan berkembang paling pesat di Malaysia dengan memperoleh pelaburan diluluskan sebanyak RM4.9 bilion pada separuh pertama 2026, meningkat 40.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Sikh Shamsul berkata MIDA mengalu-alukan komitmen berterusan Mondelez terhadap Malaysia serta sumbangannya dalam memperkukuh kedudukan negara sebagai hab serantau yang berdaya saing bagi pembuatan makanan bernilai tinggi dan halal.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mondelez International Malaysia dan Singapura Simon Crowther berkata Crumb Tower itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk melabur di Malaysia serta memperkukuh keupayaan pembuatan syarikat melalui teknologi canggih dan kepakaran tempatan.

“Dengan menghasilkan serbuk coklat secara tempatan, kami berusaha meningkatkan keupayaan kendiri selain meletakkan Shah Alam pada kedudukan yang lebih baik bagi memainkan peranan yang lebih besar dalam rangkaian pembuatan serantau kami,” tambah beliau.

Pengarah Mondelez International MSC Asia Tenggara Nitin Binnani berkata projek itu merupakan satu pencapaian penting bagi rangkaian pembuatan dan rantaian bekalan serantau syarikat.

“Dengan pengeluaran serbuk coklat secara dalaman di Shah Alam, kami bukan sahaja mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dan memanfaatkan pengeluaran domestik, malah membina keupayaan teknikal bertaraf dunia di peringkat tempatan.

“Sistem-sistem termaju yang kami integrasikan di sini daripada reaktor-T generasi baharu sehingga kepada sistem pengendalian serbuk dan lemak berasaskan automasi, ia menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan operasi.

“Ini meletakkan kilang Shah Alam sebagai tapak rujukan utama dalam rangkaian pembuatan global kami sekali gus menegaskan keyakinan kami terhadap bakat dan kepakaran warga Malaysia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelaburan berkenaan turut mengukuhkan keupayaan teknikal tempatan menerusi pengurangan pengendalian serbuk dan lemak secara manual selain memperluas penggunaan kawalan proses, analisis data serta penyelenggaraan peralatan khas.

Jelas kenyataan berkenaan, jurutera dan pengendali tempatan dilatih untuk menguruskan sistem baharu tersebut manakala pembekal teknologi tempatan pula diiktiraf kelayakan mereka untuk menyokong tapak operasi Mondelez yang lain di peringkat global.

Kilang di Shah Alam kini diposisikan sebagai tapak rujukan bagi operasi serbuk coklat dalam rangkaian pembuatan global Mondelez, tambah kenyataan berkenaan.

-- BERNAMA