Lonjakan Penggunaan Perkhidmatan Kesihatan Tingkat Inflasi Tuntutan Perubatan - LIAM
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan kini menjadi antara penyumbang utama kepada inflasi tuntutan perubatan di Malaysia, menurut Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Mark O’Dell berkata lonjakan itu sekali gus menunjukkan keperluan untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kerjasama dalam ekosistem penjagaan kesihatan bagi memastikan perlindungan perubatan kekal mampu milik dan mampan.
Katanya inflasi tuntutan perubatan mencapai 12.28 peratus pada 2025, bagaimanapun, data daripada Laporan Inflasi Tuntutan Perubatan Malaysia 2025 menunjukkan 11.22 mata peratusan daripada peningkatan itu didorong oleh pertambahan jumlah tuntutan, manakala bakinya berpunca daripada peningkatan kos penjagaan kesihatan.
“Inflasi tuntutan perubatan dan inflasi kos perubatan bukan perkara yang sama. Data terkini menunjukkan peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan merupakan antara penyumbang ketara kepada pertumbuhan tuntutan perubatan,” katanya kepada Bernama.
Justeru itu, O’Dell berkata kadar inflasi tuntutan perubatan sebanyak 12.28 peratus itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai peningkatan yang sama kadar dalam kos rawatan perubatan.
“Ini tidak bermakna rakyat Malaysia perlu mengurangkan penggunaan perkhidmatan kesihatan. Mendapatkan rawatan apabila diperlukan adalah penting. Cabarannya adalah untuk memastikan perkhidmatan kesihatan digunakan secara wajar dan cekap, serta sistem berupaya memberikan hasil kesihatan yang baik pada kos yang mampan,” katanya.
Beliau berkata kos penjagaan kesihatan juga berbeza mengikut fasiliti rawatan, dengan tuntutan yang melibatkan hospital awam dan hospital pengajar, merangkumi sembilan peratus daripada keseluruhan tuntutan, mencatatkan penurunan kos sebanyak 14 peratus.
Sebaliknya, kos meningkat kira-kira 5.9 peratus di hospital swasta dan 2.3 peratus di fasiliti jagaan harian swasta.
Menurut O’Dell industri insurans dan takaful pula membayar RM13.5 bilion bagi tuntutan perubatan pada 2025, berbanding RM12.2 bilion pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 10.7 peratus.
Peningkatan itu katanya mencerminkan permintaan yang semakin tinggi terhadap perkhidmatan kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia yang dilindungi insurans perubatan dan takaful.
Lonjakan Perkhidmatan Kesihatan Petanda Positif Terhadap Kesedaran Kesihatan
O’Dell berkata peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan juga tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai perkembangan negatif kerana ia boleh mencerminkan perkembangan positif seperti peningkatan kesedaran mengenai kesihatan, pengesanan penyakit pada peringkat lebih awal, akses kepada rawatan yang lebih baik serta kecenderungan rakyat Malaysia mendapatkan rawatan lebih awal.
“Matlamatnya bukan untuk menghalang penggunaan perkhidmatan kesihatan, tetapi memastikan sumber penjagaan kesihatan digunakan dengan sewajarnya dan pesakit menerima rawatan yang tepat, di fasiliti yang sesuai, pada kos yang munasabah dan berpatutan,” katanya.
Pihak industri juga berpandangan bahawa peningkatan ketelusan, laluan rawatan yang bersesuaian, penggunaan data secara lebih berkesan serta langkah lebih kukuh untuk menangani penipuan, pembaziran dan penyalahgunaan boleh menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap.
“Ini termasuk usaha memberikan pengguna maklumat yang lebih jelas mengenai kos supaya mereka dapat membuat keputusan yang lebih bermaklumat berkaitan penjagaan kesihatan mereka,” katanya.
Isu Melibatkan Keseluruhan Ekosistem
O’Dell berkata trend peningkatan tuntutan tidak seharusnya dilihat sebagai isu yang hanya melibatkan syarikat insurans dan pengendali takaful semata-mata, memandangkan tuntutan perubatan pada akhirnya mencerminkan perkembangan merentas ekosistem yang lebih meluas.
“Syarikat insurans dan pengendali takaful membiayai penjagaan kesihatan, tetapi mereka tidak mengendalikan hospital, menentukan amalan klinikal atau membuat keputusan bila atau di mana pesakit mendapatkan rawatan.
“Oleh itu, usaha memastikan perlindungan perubatan kekal mampan memerlukan kerjasama merentasi keseluruhan ekosistem, termasuk penggubal dasar, penyedia penjagaan kesihatan, doktor, syarikat insurans dan takaful, selain pengguna,” katanya.
Beliau berkata matlamatnya adalah untuk memastikan rakyat Malaysia terus mendapat akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti sambil mengekalkan kemampanan kos pembiayaan secara keseluruhan.
Perkara ini amat penting kerana tuntutan perubatan menyumbang kira-kira 75 hingga 80 peratus daripaa premium insurans dan sumbangan takaful.
“Pada akhirnya, kita semua berkongsi matlamat yang sama, rakyat Malaysia seharusnya mendapat penjagaan kesihatan yang diperlukan tanpa perlindungan perubatan menjadi terlalu mahal untuk dimiliki,” katanya.
Mengekalkan Kemampanan Perlindungan Perubatan
O’Dell berkata implikasi peningkatan tuntutan yang berterusan melangkaui syarikat insurans dan pengendali takaful, iaitu peningkatan tuntutan yang berlarutan pada kadar yang lebih pantas berbanding kumpulan pembiayaan sandaran akan meningkatkan tekanan terhadap kemampuan dan kemampanan perlindungan perubatan.
“Pihak industri berpendapat bahawa pembaharuan struktural merentasi ekosistem adalah penting.
“Objektifnya bukan sekadar untuk mengurangkan tuntutan, tetapi bertujuan memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan memberikan nilai, selain memastikan rakyat Malaysia terus mendapat akses kepada penjagaan berkualiti apabila mereka memerlukannya," katanya.
Beliau berkata pembaharuan seharusnya mewujudkan persekitaran yang membolehkan pesakit menerima penjagaan yang sewajarnya, penjagaan kesihatan yang beroperasi secara mampan, dan syarikat insurans serta pengendali takaful dapat terus menyediakan perlindungan perubatan yang berdaya maju.
Pembaharuan Jangka Panjang Kunci kepada Kemampanan
Mengenai pertumbuhan tuntutan perubatan masa depan, O’Dell berkata pihak industri menjangkakan ia akan kekal tinggi dalam tempoh terdekat, didorong oleh penggunaan yang berterusan serta intensiti perkhidmatan.
Bagaimanapun, tahap sebenar inflasi tuntutan masih tidak menentu, sekali gus menjadikan pembaharuan jangka panjang semakin penting.
Sistem yang mampan seharusnya membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti apabila diperlukan.
Ia juga harus membolehkan penyedia penjagaan kesihatan memberikan perkhidmatan secara mampan dan memastikan perlindungan insurans perubatan dan takaful kekal mampu milik serta berdaya maju.
“Pihak industri sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan di bawah agenda Memperbaharui Ekosistem Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (RESET) bagi mencapai objektif yang sama, iaitu hasil kesihatan yang lebih baik, ketelusan yang lebih tinggi, penggunaan sumber yang lebih cekap dan pembiayaan penjagaan kesihatan yang mampan," katanya.
-- BERNAMA