BERITA TERKINI   Gempa bumi bermagnitud 6.2 melanda barat laut Pulau Morotai, Maluku Utara, tiada ancaman tsunami - Agensi Meteorologi Indonesia | Hari Malaysia: Pengunjung acara bunga api di Tebingan Kuching dinasihatkan pakai pelitup muka susulan fenomena jerebu - Fahmi | Pameran Hari Malaysia 2026 diperluas ke platform digital, sahut saranan PM jadikan MA63 sebagai naratif nasional - Fahmi | Orang ramai termasuk pempengaruh diingat tidak ambil tindakan sendiri terhadap pelarian Myanmar, serah kepada pihak berkuasa - Polis | Pelantikan firma audit bebas selaras saranan Perdana Menteri, SPRM serta Jawatankuasa Khas Hala Tuju 2030 - FELDA | 

Pindaan Kanun Tanah Negara Buka Potensi Tanah Wakaf bernilai Berbilion Ringgit Bagi Projek Perumahan 

JOHOR BAHRU, 14 Sept (Bernama) -- Tanah wakaf bernilai berbilion ringgit yang kurang dimanfaatkan di Malaysia boleh dibangunkan sebagai perumahan mampu milik sekiranya rangka kerja perundangan yang jelas diwujudkan bagi membolehkan pembangunan jangka panjang tanpa memindahkan hak milik tanah itu, menurut pengamal hartanah Datuk Idzham Mohd Hashim.

Beliau berkata Kanun Tanah Negara perlu dipinda bagi mewujudkan kerangka yang jelas dan seragam bagi pajakan berdaftar jangka panjang terhadap tanah wakaf, sekali gus membolehkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) mengekalkan hak milik tanah itu selama-lamanya.

Idzham yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB) berkata kerangka itu juga perlu memberikan kepastian dari segi undang-undang kepada pemaju, pembeli rumah dan institusi kewangan yang terlibat dalam pembangunan tanah wakaf.

Ad Banner

“Hak pemilikan tanah itu boleh dan seharusnya kekal dengan MAIN selama-lamanya sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang wakaf Islam,” katanya dalam artikel yang dikongsikan kepada Bernama.

Beliau berkata Malaysia mempunyai kira-kira 30,000 hektar tanah wakaf, dengan kajian sebelum ini menganggarkan nilai pegangan itu secara konservatif sebanyak RM4 bilion berdasarkan angka pada 2015.

Memetik data Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), beliau berkata sebanyak 3,018 daripada 18,402 lot wakaf yang berdaftar di seluruh negara masih tidak produktif atau belum dibangunkan setakat Julai 2023 manakala anggaran menunjukkan kawasan tanah wakaf yang belum dibangunkan boleh mencapai sehingga 87 peratus daripada keseluruhan tanah wakaf.

Ad Banner
Ad Banner

Idzham berkata isu itu amat penting memandangkan cabaran kemampuan untuk memiliki rumah yang semakin meningkat, dengan kos pengambilalihan tanah kekal sebagai antara perbelanjaan terbesar dalam pembangunan hartanah.

Beliau berkata halangan utama bukanlah prinsip wakaf itu sendiri, tetapi ketiadaan mekanisme yang jelas untuk memisahkan pemilikan tanah secara kekal daripada hak ekonomi untuk membangunkan, menduduki dan membiayai projek di atas tanah itu.

Di bawah pendekatan yang dicadangkan, MAIN akan terus memiliki tanah itu manakala pemaju boleh melaksanakan projek melalui pajakan berdaftar jangka panjang tanpa melupuskan aset wakaf asal.

Bagi Wakaf Am, iaitu tanah yang diwakafkan untuk tujuan kebajikan umum dan kepentingan awam, beliau berkata model itu boleh menyokong pembangunan perumahan mampu milik berikutan pemaju tidak perlu membeli tanah pada harga pasaran semasa.

Beliau berkata keadaan ini membolehkan harga rumah lebih mencerminkan kos pembinaan dan pembangunan manakala MAIN dapat menjana pendapatan jangka panjang daripada premium pajakan untuk membiayai program kemasyarakatan dan sosial.

Bagi Wakaf Khas yang dikhususkan untuk tujuan keagamaan, kebajikan atau kemasyarakatan tertentu, beliau berkata pembangunan bercampur yang merangkumi komponen kediaman dan komersial boleh menjana pendapatan bagi menyokong kemudahan seperti masjid dan sekolah.

Idzham berkata struktur pajakan jangka panjang yang serupa bagi tanah milik induk telah dilaksanakan di beberapa kawasan di Malaysia termasuk Johor, dengan kepentingan pajakan berdaftar diberikan kepada pembeli akhir manakala hak milik tanah asas kekal dengan pemilik tanah induk.

Beliau turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada Jun 2025 yang mengesahkan kesahihan pengaturan sedemikian di bawah undang-undang tanah dan strata Malaysia yang sedia ada.

Menurutnya keputusan itu menyediakan asas perundangan yang boleh disesuaikan untuk pembangunan tanah wakaf.

Idzham berkata kerangka pajakan wakaf yang diseragamkan di peringkat nasional berupaya membuka potensi nilai ekonomi dan sosial tanah yang tidak dimanfaatkan selain mengekalkan status kekal tanah itu.

Beliau berkata Malaysia mempunyai tanah, permintaan dan duluan perundangan yang diperlukan untuk merealisasikan pembangunan sedemikian.

-- BERNAMA