Bursa Malaysia Melantun Ditutup Tinggi, Akhiri Penyusutan Empat Hari
Oleh Harizah Hanim Mohamed dan Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Indeks penunjuk utama Bursa Malaysia ditutup mencecah paras tertinggi harian hari ini, sekali gus menamatkan penyusutan empat hari berturut-turut sebelum ini.
Prestasi itu didorong oleh aktiviti pembelian ketika harga rendah susulan penurunan pasaran baru-baru ini dengan separuh daripada komponen utama indeks mencatat peningkatan dalam dagangan hari ini.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 11.27 mata atau 0.66 peratus untuk ditutup pada 1,698.01 mata berbanding 1,686.74 mata pada Jumaat.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.09 mata pada 1,686.65 mata dan turun ke paras terendah harian 1,682.49 mata sebelum ditutup pada paras tertinggi harian 1,698.01 mata.
Sentimen pasaran kurang memberangsangkan apabila kaunter rugi mengatasi untung iaitu 764 berbanding 421 manakala 498 kaunter tidak berubah, 1,157 kaunter tidak diniagakan dan 26 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan susut kepada 3.18 bilion unit bernilai RM2.79 bilion daripada 3.57 bilion unit bernilai RM3.28 bilion pada Jumaat.
Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong berkata FBM KLCI berkemungkinan dapat meneruskan lantunan kenaikan dalam tempoh terdekat, disokong oleh aktiviti pembelian saham berharga rendah yang berterusan.
Beliau berkata pasaran juga dijangka meneliti data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian China yang dijadual dikeluarkan esok.
Data berkenaan dapat memberi gambaran mengenai permintaan domestik dan aktiviti pembuatan di rantau ini manakala perkembangan pasaran global dan harga komoditi dijangka terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Pada masa sama, penggiat pasaran juga menunggu pengumuman data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian China esok yang dapat memberi penunjuk mengenai permintaan domestik dan aktiviti pembuatan rantau ini ketika perkembangan pasaran global dan harga komoditi akan terus mempengaruhi sentimen pasaran.
“Kami menjangkakan indeks kekal dalam julat tertentu yang cenderung meningkat secara sederhana ketika menunggu pemangkin lebih kukuh untuk mendorong pemulihan berterusan.
“Dari sudut teknikal, bursa tempatan itu telah membentuk satu aliran menaik dan ini berpotensi untuk menguj paras psikologi 1,700,” katanya kepada Bernama.
Leong berkata sebarang penembusan seterusnya berkemungkinan dapat memacu pergerakan ke arah paras rintangan segera pada 1,714 dan seterusnya 1,722 mata manakala paras sokongan kekal pada 1,680 mata dan 1,676 mata.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata pembetulan pasaran baru-baru ini mendorong indeks utama menghampiri zon terlebih jual yang akan terus menarik aktiviti pembelian ketika harga rendah.
“Kami juga percaya penilaian saham mewah terpilih juga makin menarik, khususnya bagi saham sektor perbankan selepas penurunan harga baru-baru ini meningkatkan lagi unjuran hasil dividen dan daya tarikan yang lebih ketara di mata pelabur jangka panjang.
“Bagi minggu ini, kami menjangkakan ketidaktentuan pasaran kekal ketara ketika pelabur terus mengikuti rapat perkembangan Asia Barat, harga minyak mentah serta keputusan dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan Bank of Japan pada mesyuarat akan datang,” katanya.
Menurutnya, walaupun ketidaktentuan luaran ini mungkin mengehadkan momentum pemulihan, penilaian FBM KLCI yang semakin menarik serta potensi aktiviti pembelian ketika harga rendah dalam kalangan saham mewah dengan asas kukuh, dijangka menyuntik sokongan.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank untung lapan sen kepada RM10.46, Public Bank naik lima sen kepada RM4.85, CIMB meraih 18 sen kepada RM7.97, Tenaga Nasional untung empat sen kepada RM13.64 dan IHH Healthcare meningkat 11 sen pada RM7.76.
Saham paling aktif menyaksikan Zetrix AI susut setengah sen kepada 24.5 sen, Top Glove meningkat tiga sen kepada 83 sen, Jaks Resources dan AHB masing-masing menambah satu sen kepada 13.5 sen dan 6.5 sen manakala Ni Hsin naik 1.5 sen kepada 29 sen.
Hong Leong Bank mendahului kaunter saham paling untung dengan menokok 30 sen kepada RM23.38, Hong Leong Industries meraih 28 sen kepada RM17, Hengyuan Refining meningkat 21 sen kepada RM3.45, IOI Corporation meraih 20 sen kepada RM4.93 dan Naim mengukuh 18 sen kepada RM5.27.
Bagi kaunter dengan kerugian ketara, Malaysian Pacific Industries dan Nestle masing-masing susut 70 sen kepada RM40 dan RM91.30, Allianz Malaysia turun 66 sen kepada RM21.52, UWC merosot 34 sen kepada RM6.26 manakala Fraser & Neave menguncup 32 sen kepada RM23.24.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Mid 70 susut 38.55 mata kepada 17,690.09 mata, Indeks FBM ACE turun 44.60 mata kepada 5,215.63 mata, Indeks FBM Emas meningkat 49.71 mata kepada 12,559.91 mata, Indeks FBM Top 100 menambah 54.70 mata kepada 12,360.34 mata dan Indeks FBM Emas Syariah naik 15.96 mata kepada 12,412.77 mata.
Selain itu dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.42 mata kepada 189.20 mata manakala Indeks Tenaga menambah 0.49 mata kepada 814.92 mata.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 1.84 bilion unit bernilai RM2.50 bilion berbanding 1.97 bilion unit bernilai RM2.94 bilion pada Jumaat lepas.
Waran pula berkurangan kepada 909.17 juta unit bernilai RM125.97 juta berbanding 1.05 bilion unit bernilai RM139.33 juta pada Jumaat lalu.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya susut kepada 429.68 juta unit bernilai RM164.42 juta berbanding 552.67 juta unit bernilai RM205.83 juta sebelum ini.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 279.57 juta saham di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (264.70 juta), pembinaan (157.64 juta), teknologi (519.40 juta), perkhidmatan kewangan (66.07 juta), hartanah (109.80 juta), perladangan (53.16 juta), amanah pelaburan hartanah (14.28 juta), dana tertutup (39,300), tenaga (115.93 juta), penjagaan kesihatan (180.78 juta), telekomunikasi dan media (25.20 juta), pengangkutan dan logistik (33.58 juta), utiliti (25.27 juta) dan amanah perniagaan (57,200).
-- BERNAMA