Nuenergy Labur Dalam kemudahan Solar PV Berkapasiti 21 MWP Di 49 Tapak Bumbung
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Nuenergy Holdings Bhd akan melabur bagi pembangunan kemudahan sistem solar fotovoltaik (PV) dengan kapasiti 21 megawatt puncak (MWp) melibatkan 49 lokasi bumbung di premis agensi kerajaan.
Nuenergy dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan, anak syarikat milik penuhnya IL Energy Sdn Bhd akan melaksanakan pelaburan itu dengan kemudahan berkenaan menjadi sebahagian daripada portfolio aset tenaga boleh baharu (TBB) milik kumpulan itu.
Menurutnya pembangunan kemudahan di 49 lokasi bumbung itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat agensi kerajaan berkenaan selaku kontraktor utama kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Nuenergy memaklumkan satu lagi anak syarikat milik penuhnya Armani Sinar Sdn Bhd menerima surat tawaran daripada agensi kerajaan itu pada 11 Sept 2026 untuk bekerjasama sebagai rakan strategik bagi pembangunan EPCC kemudahan berkenaan.
“Sebagai rakan strategik, Armani Sinar akan menawarkan sokongan reka bentuk kejuruteraan, menetapkan piawaian teknikal bagi pelaksanaan kerja-kerja, menjalankan semakan teknikal dan pengesahan tapak selain membekalkan modul PV solar serta penyongsang solar bagi projek berkenaan,” menurutnya.
Menurut kumpulan itu, projek berkenaan akan membolehkan kumpulan menyertakan projek itu dalam portfolio aset TBB miliknya, sekali gus menjana pendapatan tenaga berulang sepanjang tempoh perjanjian pembelian tenaga serta meluaskan asas pendapatannya selain pendapatan daripada kejuruteraan dan pembinaan berasaskan projek.
Menurutnya projek yang diterima oleh Armani Sinar itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan Nuenergy dan aset bersih sesaham.
Nuenergy memaklumkan kemudahan itu dijangka siap pada suku kedua 2027.
-- BERNAMA