Unit Airbus, Cebu Pacific Meterai Perjanjian 12 Tahun Bagi Selenggara, Pemeriksaan EOL A320

SINGAPURA, 23 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Airbus, Sepang Aircraft Engineering (SAE) memeterai kontrak dengan Cebu Pacific dari Filipina bagi kerja-kerja penyelenggaraan pesawat dan pemeriksaan tamat tempoh pajakan (EOL) untuk tujuh pesawat A320 selama 12 tahun. 

Menurut Airbus, kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) akan dijalankan di kemudahan SAE, seluas 50,000 meter persegi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara tahun 2027 dan 2028. 

Pengurus Besar SAE merangkap wakil Airbus bagi Malaysia, Burhanudin Noordin Ali berkata perjanjian terbaharu itu merupakan isyarat jelas mengenai kepercayaan dan keyakinan syarikat penerbangan tersebut terhadap hasil kerja syarikat itu. 

Ad Banner

Katanya, SAE pernah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan berat dan pemeriksaan EOL secara ad hoc, penukaran enjin pesawat serta penggantian panel badan pesawat bagi syarikat penerbangan tersebut. 

“SAE dan Cebu Pacific telah menjalin hubungan kerjasama yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Naib Presiden Kejuruteraan dan Pengurusan Armada Cebu Pacific Shevantha Weerasekera berkata kerjasama berterusan dengan SAE menyediakan kepakaran MRO yang boleh dipercayai bagi menyokong penyelenggaraan dan kelayakan terbang armada A320 syarikat itu. 

Ad Banner

“Semasa kami membuat persiapan untuk memulangkan pesawat kepada pihak pemajak, kerjasama dengan rakan kongsi penyelenggaraan yang berpengalaman membolehkan kami memastikan pesawat terlibat diselenggara mengikut piawaian yang ditetapkan dan kekal dalam keadaan optimum bagi proses penyerahan semula yang lancar serta cekap,” tambahnya. 

-- BERNAMA