Sektor Tenaga, Teknologi, Pengangkutan Dan Logistik Catat Aliran Masuk Asing RM194 Juta Minggu Lepas
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Sektor tenaga, teknologi serta pengangkutan dan logistik telah menarik jumlah aliran masuk asing bersih sebanyak RM194 juta ke Bursa Malaysia minggu lepas, menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).
Sektor tenaga menerajui aliran masuk sebanyak RM104 juta, diikuti RM64.8 juta dalam sektor teknologi dan RM52.2 juta dalam sektor pengangkutan dan logistik.
Sebaliknya, sektor utiliti, perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan mencatatkan jumlah aliran keluar asing bersih sebanyak RM604 juta, menurut MBSB IB dalam Laporan Aliran Dana mingguannya untuk minggu berakhir 25 Sept 2026.
“Di Bursa Malaysia, institusi asing kembali kepada jualan bersih selepas mencatatkan aliran masuk pada minggu sebelumnya, merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM473.1 juta.
“Institusi asing merupakan pembeli bersih pada satu daripada lima hari dagangan pada minggu tersebut, dengan satu-satunya aliran masuk dicatatkan pada Selasa sebanyak RM20.4 juta,” menurutnya.
Aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Rabu sebanyak RM230.7 juta, diikuti Jumaat (RM132.8 juta), Khamis (RM109.3 juta) dan Isnin (RM20.7 juta).
MBSB IB turut memaklumkan institusi tempatan menamatkan aliran jualan bersih mereka selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM384.0 juta.
Sementara itu, pelabur runcit meneruskan aliran belian bersih mereka kepada lima minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM89.0 juta.
Menurut MBSB IB, purata jumlah dagangan harian mencatatkan penurunan secara menyeluruh, dengan pelabur runcit merosot sebanyak 3.3 peratus, institusi tempatan (12.0 peratus) dan institusi asing (36.3 peratus).
-- BERNAMA