BERITA TERKINI   GP Gulf Air Bahrain: Max Verstappen dari Red Bull Racing raih petak utama dengan catatan 1 minit 35.130 saat | Projek Wi-Fi IPTA: 1,925 titik akses beroperasi di USM setakat 30 Sept - Teo | Projek Wi-Fi IPTA capai 76 peratus, 408 lokasi siap dilaksana - Teo | PM Anwar beri bayangan umum peruntukan khusus untuk belia dalam Belanjawan 2027 | Jangan pertahan pemimpin rasuah atas sentimen kaum, parti - PM Anwar | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Dalam Julat US$4,100-US$4,300 Minggu Depan

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan antara US$4,100 dan US$4,300 setiap auns troy minggu depan, dengan logam berharga itu dijangka kekal sensitif terhadap data ekonomi Amerika Syarikat (AS) serta jangkaan mengenai hala tuju dasar monetari. 

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata penetapan harga opsyen semasa menunjukkan pasaran menjangkakan pergerakan sekitar 2.5 peratus ke atas atau ke bawah daripada paras semasa, mencerminkan julat dagangan yang agak luas sekitar harga ketika ini.

Ad Banner

“Permintaan dari Asia juga dijangka kekal sederhana pada awal minggu depan, dengan China masih bercuti sempena Golden Week sehingga 7 Okt,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata ketiadaan sementara pembelian dari China, yang sebelum ini menjadi antara sumber penting permintaan serantau, boleh memberi tekanan kepada pasaran emas secara keseluruhan.

“Buat masa ini, harga emas dipengaruhi oleh dua faktor yang bertentangan, iaitu jangkaan dasar Rizab Persekutuan AS yang lebih longgar dalam tempoh terdekat, manakala dolar AS kekal kukuh dan hasil bon sebenar masih tinggi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Selagi keadaan ini berterusan, harga emas mungkin bergerak naik turun dalam julat tertentu, dan bukannya kembali meningkat atau menurun dengan ketara dalam satu arah,” katanya.

Bagi asas mingguan, kontrak Oktober 2026 susut kepada US$4,199.30 setiap auns troy daripada US$4,308.30, manakala November 2026 turun kepada US$4,216.10 setiap auns troy daripada US$4,325.20 dan Disember 2026 merosot kepada US$4,232.80 setiap auns troy daripada US$4,333.00.

Sementara itu, kontrak Januari 2027, Februari 2027 dan April 2027 masing-masing susut kepada US$4,232.80 setiap auns troy daripada US$4,333.00 sebelum ini.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 815 lot daripada 1,256 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 212 kontrak daripada 222 kontrak.

Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,151.65 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association (LBMA) pada 1 Okt, 2026.

-- BERNAMA