Malaysia Perlu Perkenal Skim Latihan Teknologi AI, Pertingkat Kemahiran -- GKK Consultants
Oleh Mikhail Raj Abdullah
KUALALUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Satu skim teknologi kecerdasan buatan (AI) khusus perlu diperkenalkan bagi melatih dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja Malaysia dalam memahami, melaksanakan dan memanfaatkan AI di hampir semua kerjaya di negara ini.
Skim sedemikian juga penting dalam memastikan transformasi digital berasaskan AI itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh serta seragam dan merentasi semua sektor perniagaan, kata Pengasas dan Pengarah GKK Consultants Sdn Bhd Dr Gajandra Balasingham.
GKK Consultants merupakan firma latihan dan perundingan sumber manusia di Malaysia dengan wakilnya di serata negara-negara ASEAN.
Gajendra juga menyifatkan langkah memperkenalkan skim insentif khusus dan berciri sejagat itu dapat mempercepat pembangunan keupayaan tenaga kerja serta pertumbuhan Malaysia agar setanding di dan dapat bersaing di pentas global.
“Skim teknologi AI ini amat sesuai untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia,” katanya kepada Bernama hari ini.
Langkah itu juga adalah penting memandangkan PMKS mewakili hampir 97 peratus daripada keseluruhan syarikat perniagaan yang berdaftar di Malaysia.
Pada 2025, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan PMKS menyumbang kira-kira RM653 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau hampir 40 peratus daripada keseluruhan KDNK Malaysia.
PMKS juga mewakili kira-kira 85 peratus daripada sektor perkhidmatan dan pembuatan manakala hampir 9.0 peratus dalam sektor pertanian dan 6.0 peratus dalam sektor pembinaan, perlombongan dan pengkuarian.
Secara keseluruhannya, beliau berkata sumbangan PMKS kepada kadar pertumbuhan ekonomi negara adalah 5.1 peratus.
Sehubungan itu, katanya, ini hanya mengukuhkan lagi alasan untuk menawarkan skim AI berkenaan secara khusus kepada PMKS di Malaysia.
“Kerajaan MADANI wajar diberi pujian di atas semua insentif disediakan untuk negara secara keseluruhannya, terutama insentif yang berkaitan dengan AI,” kata Gajendra.
-- BERNAMA