Kontrak Pelengkap Belum Dimuktamad Punca Risiko Kelewatan Projek LCS - LKAN
KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Kelewatan memuktamadkan beberapa kontrak pelengkap Kapal Tempur Pesisir (LCS) mengakibatkan risiko kelewatan proses pembinaan LCS1 hingga LCS5, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026.
LKAN 2/2026 bagi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025 mendedahkan dokumen kontrak membabitkan Integrated Logistics Support and Trial Aids (ILS-TA), Surface-to-Surface Missile (SSM), Ammunition 3P Medium Caliber Gun (3P MCG) dan Integrated Decoy Launching System (IDLS) masih belum dimuktamadkan.
Bagi kontrak ILS-TA bernilai RM535.37 juta, laporan itu memaklumkan dokumen berkenaan masih belum dimuktamadkan secara rasmi sehingga 25 Jun lepas, melebihi tempoh empat bulan selepas Surat Setuju Terima (SST) ditandatangani pada 5 Ogos 2025.
Kelewatan itu tidak selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan (PK 4.2) yang menetapkan dokumen kontrak kerajaan hendaklah disempurnakan dalam tempoh empat bulan selepas SST ditandatangani.
“Dalam tempoh tersebut, kerajaan telah membuat dua bayaran kemajuan berjumlah RM100 juta. Bagaimanapun, kontraktor tidak memanfaatkan kemudahan di bawah PK 4.2 untuk mengemukakan tuntutan bayaran ketiga dalam tempoh yang dibenarkan.
“Berdasarkan kemajuan kerja setakat 25 Jun 2026, kontraktor layak mengemukakan tuntutan berjumlah RM132.73 juta, namun tuntutan tersebut masih belum dapat dikemukakan kerana kontrak belum dimuktamadkan,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
LKAN mendapati kelewatan kontrak itu dimuktamadkan berpunca daripada pertikaian berhubung tempoh jaminan serta keperluan minimum First Outfit of Stores (FOS) dan Onboard Spares (OBS) yang belum dipersetujui.
Menurut laporan itu, kemajuan fizikal ILS-TA hanya mencapai 30.49 peratus berbanding sasaran 37.41 peratus setakat Jun lepas, iaitu kelewatan sebanyak 6.92 peratus.
Laporan itu turut mendapati kontraktor menggantung kerja ILS-TA mulai 15 Mei lepas, namun melalui surat bertarikh 7 Julai kontraktor memaklumkan beberapa skop kerja kritikal masih diteruskan bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan projek.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam maklum balasnya memaklumkan Penasihat Undang-Undang kementerian berpandangan notis penggantungan itu tidak sah kerana penerimaan SST telah mewujudkan hubungan kontrak yang mengikat antara kerajaan dan kontraktor.
MINDEF menjelaskan kelewatan berkenaan berlaku berikutan pusingan semakan teknikal, komersial dan perundangan yang berlanjutan sejak Oktober 2025 bagi memastikan dokumen kontrak dalam keadaan teratur.
“Isu ini berjaya diselesaikan selepas kontrak yang disemak semula ditandatangani oleh kontraktor pada 11 Ogos lepas,” menurut laporan itu.
Dalam pada itu, LKAN turut mendedahkan penyelesaian kontrak bagi pembekalan sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) masih belum dimuktamadkan, susulan pembatalan lesen eksport senjata berkenaan oleh kerajaan Norway.
Menurut laporan itu, kerajaan telah membuat pembayaran berjumlah EUR124.35 juta, iaitu 96.6 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak sebanyak EUR128.72 juta sebelum lesen eksport senjata berkenaan dibatalkan secara kekal oleh kerajaan Norway.
MINDEF memaklumkan rundingan antara kerajaan Malaysia dengan syarikat pembekal telah diadakan pada 12 hingga 13 Ogos lepas di Türkiye dan perkara itu akan dibawa ke Dispute Resolution Committee sebelum ke proses timbang tara sekiranya penyelesaian secara baik tidak dapat dicapai.
Kerajaan Norway sebelum ini dilaporkan membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
Susulan itu, Malaysia telah menghantar surat tuntutan melebihi RM1 bilion kepada syarikat berkaitan dan kini menunggu maklum balas daripada kerajaan Norway.
-- BERNAMA