Bursa Malaysia Susut 1.19 Peratus Pada Tengah Hari Dalam Persekitaran Harga Minyak Tinggi
KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan trend menurun pada tengah hari, seiring dengan prestasi pasaran serantau dalam persekitaran tekanan jualan yang berterusan dan harga minyak yang tinggi.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama Bursa Malaysia menguncup sebanyak 19.39 mata atau 1.19 peratus kepada 1,613.96 daripada 1,633.35 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks penanda aras itu dibuka tinggi 0.19 mata kepada 1,633.54, paras tertinggi untuk sesi dagangan pagi dan seterusnya susut kepada 1,612.42.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 580 berbanding 401 manakala 512 kaunter tidak berubah, 1,297 kaunter tidak diniagakan dan 13 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.37 bilion unit yang bernilai RM1.7 bilion.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), harga minyak mentah Brent meningkat 0.5 peratus kepada kira-kira US$101 setong apabila impak serangan peluru berpandu Houthi dan serangan terhadap kapal tangki Iran mengatasi faktor peningkatan aliran bekalan dari Arab Saudi serta rizab Kumpulan tujuh negara perindustrian (G7).
Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent telah meningkat 1.02 peratus kepada US$101.60 setong.
"Tumpuan minggu ini beralih kepada laporan pendapatan suku ketiga dan minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dan data awal sentimen pengguna bagi bulan Oktober," kata HLIB dalam satu nota penyeldikan hari ini.
Bank pelaburan itu memaklumkan bahawa menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober, ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran serta naratif kecederungan Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk menaikkan kadar faedah mungkin mengekalkan FBM KLCI dalam fasa penyatuan yang berhati-hati, di sebalik harga minyak tinggi, lonjakan hasil bon dan aliran keluar dana asing yang berterusan.
Sementara itu, pilihan raya negeri Melaka mungkin menambah ketidaktentuan politik dan memberikan petunjuk mengenai sentimen pengundi, dinamik gabungan parti dan rundingan kerusi, susulan spekulasi mengenai Pilihan Raya Umum ke-16 yang mungkin diadakan lebih awal, menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan bahawa hari penamaan calon bagi pilihan raya negeri Melaka akan diadakan pada 31 Oktober, manakala hari pengundian ditetapkan pada 14 November.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank susut dua sen masing-masing kepada RM9.89 dan RM4.59, dan CIMB merosot 38 sen kepada RM7.32, manakala Tenaga Nasional menambah enam sen kepada RM12.96 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM7.91.
Bagi kaunter aktif, Top Glove merosot dua sen kepada 85.5 sen, Zetrix AI susut satu sen kepada lapan sen, dan VS Industry berkurangan setengah sen kepada 32.5 sen, manakala Metronic Global dan Supermax kedua-duanya tidak berubah masing-masing pada setengah sen dan 46 sen.
Antara saham paling untung, Mi Technovation naik 36 sen kepada RM6.36, Batu Kawan menokok 32 sen kepada RM19.60, Malaysian Pacific Industries meningkat 26 sen kepada RM45.22, Petronas Dagangan menambah 22 sen kepada RM19.34, dan Critical Holdings melonjak 20 sen kepada RM2.89.
Nestle mendahului saham paling rugi, turun RM1.56 kepada RM89.70, manakala Hong Leong Bank merosot 62 sen kepada RM21.46, Fraser & Neave berkurangan 58 sen kepada RM21.14, CIMB susut 38 sen kepada RM7.32, dan Hong Leong Financial Group menguncup 36 sen kepada RM17.98.
Di papan indeks pula, Indeks FBM 70 naik 12.08 mata kepada 17,746.19, Indeks FBM Emas merosot 95.40 mata kepada 12,137.47, Indeks FBMT 100 susut 103.25 mata kepada 11,912.53 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 3.35 mata kepada 12,162.53 manakala Indeks FBM ACE merosot 10.69 mata kepada 5,648.23.
Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.19 mata kepada 180.60, Indeks Tenaga naik 3.50 mata kepada 844.22, Indeks Perladangan merosot 57.92 mata kepada 8,984.25, manakala dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 477.86 mata kepada 18,590.14.
-- BERNAMA