BERITA TERKINI   Jerebu: Agong titah utamakan kesihatan, keselamatan murid, nasihat penutupan sekolah di kawasan terjejas | Myanmar, Malaysia adakan dialog membina mengenai hubungan diplomatik, perluas kerjasama ekonomi - Min Aung Hlaing | Myanmar akan hantar kapal tentera ke Malaysia untuk bawa pulang warga di pusat tahanan imigresen | Isu rasuah dalam perkhidmatan awam terkawal, usaha memperkemas tata kelola diteruskan dari semasa ke semasa - KPPA | JPA sediakan pelbagai program tajaan bantu penjawat awam tingkat kelayakan akademik, kompetensi dan profesionalisme - KPPA | 

Kerajaan Optimis Capai Sasaran Pampasan Pekerja 40 Peratus Menjelang 2030 - Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi optimis untuk mencapai sasaran sumbangan pampasan pekerja (PP) sebanyak 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2030 selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata kerajaan akan mempercepat transformasi struktur ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi yang dipacu inovasi, pendigitalan, penggunaan teknologi termaju dan aktiviti berintensifkan pengetahuan bagi meningkatkan sumbangan PP.

“Transformasi struktur ini mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir yang menawarkan gaji lebih tinggi.

Ad Banner

“Pelaksanaan hala tuju strategi negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan dapat menarik lebih banyak peluang pelaburan berkualiti tinggi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang ingin mengetahui strategi kerajaan untuk meningkatkan bahagian PP kepada 40 peratus daripada KDNK menjelang 2030 termasuk langkah memastikan peningkatan gaji pekerja selari dengan pertumbuhan produktiviti.

Mohd Shahar berkata sumbangan PP kepada KDNK adalah sebanyak 33.9 peratus pada 2025 berbanding 33.6 peratus pada 2024, meningkat sebanyak 0.3 peratus.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata kerajaan akan meneliti untuk memperluas pelaksanaan Dasar Gaji Progresif terutamanya dalam sektor strategik bagi memastikan agenda untuk meningkatkan gaji pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.

“Kerajaan turut berazam untuk meningkatkan gaji penanda aras kepada RM3,500 dan ketika ini, kita berada pada landasan yang baik untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.

-- BERNAMA