BERITA TERKINI   Tiga beradik maut dalam kemalangan babitkan motosikal bertembung lori di Parit Haji Siraj, Pontian - Polis | Tiga penyakit utama berkaitan jerebu di Johor iaitu URTI, asma dan konjunktivitis menunjukkan pola turun naik - Timbalan Menteri Kesihatan | Jerebu: Agong titah utamakan kesihatan, keselamatan murid, nasihat penutupan sekolah di kawasan terjejas | Myanmar, Malaysia adakan dialog membina mengenai hubungan diplomatik, perluas kerjasama ekonomi - Min Aung Hlaing | Myanmar akan hantar kapal tentera ke Malaysia untuk bawa pulang warga di pusat tahanan imigresen | 

Pelabuhan Di Malaysia Percepatkan Nyahkarbon, Bangunkan Hab Penyaluran Bahan Api Mesra Alam Sekitar

ISKANDAR PUTERI, 8 Okt (Bernama) -- Pelabuhan-pelabuhan di Malaysia perlu mempercepat usaha penyahkarbonan bagi memenuhi keperluan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) untuk mencapai pelepasan sifar bersih karbon menjelang 2050, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata agenda penyahkarbonan itu merangkumi industri perkapalan dan operasi pelabuhan, dengan bahan api alternatif seperti metanol, gas asli cecair (LNG) dan ammonia antara pilihan yang sedang dipertimbangkan oleh industri perkapalan antarabangsa.

“Pertama, ini adalah kewajipan kita kepada komuniti antarabangsa di bawah keperluan IMO. Kita perlu mencapai sifar bersih karbon menjelang tahun 2050. Kita mempunyai tempoh masa 24 tahun.

Ad Banner

“Sifar bersih bermakna kita perlu memastikan agenda penyahkarbonan itu dapat dicapai,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program “Driving Decarbonisation: PTP e-PM Fleet Launch” di Wisma Port of Tanjung Pelepas (PTP) di sini hari ini.

Loke berkata peralihan global ke arah bahan api marin alternatif merupakan peluang bagi Malaysia untuk meletakkan pelabuhannya sebagai hab penyaluran bahan api marin hijau (mesra alam sekitar) bagi membekalkan sumber tenaga baharu kepada industri perkapalan antarabangsa.

Beliau berkata, usaha nyahkarbon juga mesti diperluaskan kepada operasi pelabuhan, terutamanya jentera seperti penggerak utama, kren dermaga dan peralatan lain yang secara tradisinya bergantung pada diesel.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Ia merupakan peluang baharu bagi kita. Jika industri perkapalan beralih ke arah tenaga alternatif, kita akan berpeluang untuk membekalkan tenaga baharu itu. Dan kita mahu meletakkan pelabuhan kita sebagai hab penyaluran bahan api hijau. Ini adalah satu peluang, dan juga satu kewajipan di peringkat antarabangsa.

“Kedua, dari segi penyahkarbonan, ia bukan sahaja melibatkan peringkat kapal, malah peringkat operasi pelabuhan bagi mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Loke memetik peralihan PTP daripada penggerak utama dikuasakan diesel kepada penggerak utama elektrik sebagai contoh usaha mengurangkan pelepasan di peringkat operasi pelabuhan.

Inisiatif-inisiatif ini diperlukan bagi memperbaiki keadaan alam sekitar serta memastikan pematuhan terhadap keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Mengenai sama ada penggunaan penggerak utama elektrik akan diperluaskan ke pelabuhan lain, Loke berkata perkara itu bergantung kepada pengendali pelabuhan masing-masing memandangkan mereka perlu membiayai pelaburan tersebut.

"Kerajaan tidak mengeluarkan perbelanjaan untuk penggerak elektrik ini. Ia dibiayai oleh pengendali pelabuhan seperti PTP," katanya.

Beliau berkata PTP kini agak mendahului dalam aspek ini, namun yakin bahawa pengendali pelabuhan lain juga perlu mengambil langkah serupa bagi memenuhi keperluan ESG dan agenda penyahkarbonan.

"PTP agak maju dalam perkara ini. Kami yakin pengendali pelabuhan lain juga perlu mengambil langkah yang sama, memandangkan mereka turut perlu mematuhi piawaian ESG dan keperluan penyahkarbonan," katanya.

Loke berkata pematuhan ESG menjadi semakin penting bagi syarikat swasta kerana kegagalan memenuhi piawaian tersebut boleh menjejaskan daya saing mereka.

"Ini merupakan perkara penting bagi syarikat swasta. Jika mereka gagal mematuhi piawaian ESG, daya saing mereka mungkin terjejas. Oleh itu, saya yakin pengendali pelabuhan lain akan turut mengambil langkah yang sama," katanya.

-- BERNAMA