BERITA TERKINI   Jerebu: Ibu bapa dibenar tidak hantar anak ke sekolah, perlu maklumkan ketidakhadiran - JPWPKL | Semua institusi pendidikan bawah KPM di Kuala Lumpur beroperasi secara bersemuka esok, aktiviti luar bilik darjah ditangguhkan - JPWPKL | Pelabur China berminat bawa pelaburan aluminium berskala besar ke Samalaju, Sarawak - TPM Ahmad Zahid | Pertikaian takhta Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah diselesaikan melalui saluran sah, berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 - Raja-Raja Melayu | Malaysia pertimbang teknologi 'modern policing' digunakan China perkukuh pencegahan jenayah kawasan berisiko tinggi di Malaysia - TPM Ahmad Zahid | 

Usaha Sama Gamuda-MiTAC Peroleh Kontrak MRT Keelung Di Taiwan Bernilai RM3.72 Bilion

KUALA LUMPUR, 14 Okt 14 (Bernama) -- Gamuda Bhd (Gamuda) menerusi usaha sama dengan MiTAC Information Technology Corp (MiTAC) yang berpangkalan di Taiwan, berjaya memperoleh kontrak bernilai NT$29.22 bilion (kira-kira RM3.72 bilion) bagi mereka bentuk dan membina sistem Transit Aliran Massa (MRT) Keelung serta projek kerja landasan di Taiwan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Gamuda menjelaskan bahawa syarikat itu memegang 72.84 peratus kepentingan penyertaan dalam JV tersebut, dengan bahagian kontraknya bernilai kira-kira RM2.71 bilion, manakala MiTAC memegang baki 27.16 peratus.

Menurut syarikat itu, kontrak tersebut telah dianugerahkan hari ini oleh Jabatan Sistem Transit Rapid Kerajaan Bandar Raya New Taipei. 

Ad Banner

“Projek MRT Keelung ini merangkumi kerja-kerja landasan dan sistem sepanjang jajaran sejauh 15.6 kilometer yang memberi perkhidmatan kepada 13 stesen,” menurut Gamuda.

Jajaran itu melibatkan Bandar Raya Taipei, Bandar Raya New Taipei dan Bandar Raya Keelung, dengan tempoh projek selama 2,820 hari atau kira-kira 7.7 tahun.

Menurut Gamuda, projek itu merupakan salah satu daripada kerja tambahan yang ditetapkan di bawah projek MRT Xizhi–Donghu, yang diperoleh syarikat tersebut pada 22 Oktober 2024.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan Kumpulan Gamuda bermula tahun kewangan berakhir 31 Julai 2027 sehingga projek itu siap,” menurut Gamuda. 

-- BERNAMA