Genting Peruntuk RM280 Juta Daripada Terbitan Hak Untuk Bayar Faedah, Kos Pembiayaan
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Genting Bhd memperuntukkan sebanyak RM280 juta daripada cadangan terbitan hak boleh lepas hak bernilai RM1.25 bilion untuk membayar faedah dan kos berkaitan pembiayaan lain bagi pinjaman dan pengaturan pembiayaan kumpulan itu.
Menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada RM429.5 juta yang disediakan bagi memenuhi keperluan modal kerja.
Baki sebanyak RM149.5 juta pula akan digunakan untuk memenuhi keperluan modal kerja am syarikat dan anak syarikatnya yang tidak tersenarai termasuk kos berkaitan pekerja, fi profesional, caj kawal selia dan pematuhan, liabiliti cukai serta perbelanjaan operasi dan pentadbiran.
Menurut Genting peruntukan itu dibuat berdasarkan jangkaan keperluan pembiayaan dan operasi kumpulan manakala jumlah yang diperuntukkan bagi setiap komponen modal kerja boleh diselaraskan mengikut keperluan operasi, perniagaan dan pembiayaannya.
Genting mengemukakan makluman ini sebagai maklum balas kepada pertanyaan Bursa Malaysia bertarikh 13 Okt 2026 yang meminta penjelasan mengenai cadangan terbitan hak itu.
Mengenai cadangan diskaun antara 25 peratus hingga 30 peratus berbanding harga teori selepas terbitan hak, yang dikira berdasarkan harga purata wajaran volum saham Genting bagi tempoh lima hari sebelum tarikh penetapan harga, menurutnya julat diskaun itu ditentukan selepas perbincangan dengan penasihat utamanya.
Antara faktor yang dipertimbangkan adalah saiz terbitan hak yang dicadangkan, keadaan pasaran semasa, prestasi dagangan dan kecairan saham Genting sebelum ini, kadar diskaun yang ditawarkan dalam terbitan hak terdahulu serta tahap kesediaan pihak penaja jamin untuk mengambil alih baki saham terbitan hak yang tidak dilanggan.
Menurut Genting diskaun itu bertujuan menjadikan saham terbitan hak lebih menarik, menggalakkan penyertaan pemegang saham, memberi ganjaran kepada pemegang saham yang layak susulan sokongan berterusan mereka, meningkatkan kadar langganan dan meningkatkan keyakinan untuk mencapai hasil kasar yang disasarkan.
Pada 9 Oktober lepas, Genting mengumumkan rancangan untuk mengumpulkan sebanyak RM1.25 bilion menerusi cadangan terbitan hak boleh lepas, dengan RM800 juta diperuntukkan bagi pembayaran balik hutang dan RM20.5 juta untuk perbelanjaan berkaitan pelaksanaan terbitan hak itu.
-- BERNAMA