BYD Malaysia Lantik Sime Motors Bagi Usaha Pemasangan Tempatan
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- BYD Malaysia Sdn Bhd melantik Inokom Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Sime Motors yang berpangkalan di Kulim, Kedah, sebagai rakan pemasangan tempatan.
Dalam kenyataannya, BYD memaklumkan pelantikan membabitkan kenderaan jenis pemasangan tempatan (CKD) itu merupakan susulan daripada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China, yang turut menetapkan asas kerjasama antara kedua-dua pihak.
Pemilihan Inokom dibuat selepas menilai pasaran tempatan serta keupayaan pengeluaran ketika ini selain pengalaman dalam pemasangan kenderaan, tenaga kerja mahir dan prasarana sedia ada, maklum BYD.
“Ini menjadi asas kukuh untuk BYD Malaysia meneruskan perancangan pemasangan tempatan dengan memanfaatkan keupayaan industri automotif yang telah dibangunkan di Malaysia,” maklum syarikat itu.
Pengarah Urusan BYD Malaysia Jacob Ma berkata pemasangan tempatan merupakan sebahagian penting daripada komitmen jangka panjang BYD terhadap Malaysia.
“Kami berhasrat membawa kepakaran BYD dalam kenderaan tenaga baharu dan teknologi bateri yang lebih dekat kepada pengguna Malaysia, di samping menyumbang kepada pembangunan berterusan industri automotif tempatan.
“Kerjasama ini juga merupakan satu lagi langkah dalam perkembangan BYD di Malaysia bersama BYD Sime Motors. Kami akan terus memperkukuh kehadiran tempatan dan meneroka peluang untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia melalui kerjasama dengan rakan industri tempatan,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Datuk Jeffri Salim Davidson berkata kerjasama itu mencerminkan kekuatan industri pembuatan automotif Malaysia serta kepakaran yang dibangunkan selama ini.
“Pengalaman kami dalam pemasangan kenderaan, disokong oleh tenaga kerja berpengalaman dan rangkaian pembekal tempatan yang mantap, menyediakan asas yang kukuh bagi kerjasama ini,” katanya.
Beliau berkata kerjasama sedemikian turut membuka peluang bagi memperkukuh ekosistem automotif Malaysia, menyokong perniagaan tempatan dan membangunkan kepakaran yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang industri berkenaan.
-- BERNAMA