Belanjawan 2027 Permulaan Baik Bagi Pemerkasaan Wanita -- MIDA
KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pembentangan Belanjawan 2027 baru-baru ini turut memaparkan usaha kerajaan untuk memperkasakan wanita yang merupakan satu permulaan yang baik, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Pengerusinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ini jelas menerusi pengumuman inisiatif seperti peruntukan RM200 juta untuk menyediakan peralatan dan latihan kepada 40,000 penerima, khususnya wanita selain aspek memperluas kemudahan penjagaan anak.
Beliau berkata ini penting kerana golongan wanita juga bukan kekurangan kebolehan, namun ramai yang terpaksa memperlahankan kerjaya, malah berhenti bekerja kerana tanggungjawab menjaga anak serta keluarga.
"Namun, usaha kerajaan sahaja tidak mencukupi. Majikan juga perlu memainkan peranan. Peluang kenaikan pangkat, gaji yang adil dan aturan kerja yang fleksibel bukan sekadar manfaat kepada pekerja, tetapi juga pelaburan untuk masa depan ekonomi kita.
"Kita sudah lama melihat apa yang wanita mampu lakukan. Sekarang, tanggungjawab kita untuk membuka lebih banyak ruang dan sama-sama memikul beban. Bila wanita maju, seluruh negara turut maju," katanya menerusi hantaran di X hari ini.
Tengku Zafrul berkata beliau berkongsi pandangan mengenai kepimpinan wanita yang pantas berubah itu ketika menghadiri Forum Ekonomi Wanita Tahunan dan G100 Global Meet 2026 di sini.
-- BERNAMA