DNB Percepat Penerimagunaan 5G, Pacu Pertumbuhan Perniagaan
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Digital Nasional Bhd (DNB) akan bekerjasama dengan pemegang sahamnya yang terdiri daripada operator rangkaian mudah alih, pelanggan dan rakan teknologi bagi mempercepat penerimagunaan 5G serta membawa penyelesaian praktikal ke pasaran.
Menurutnya langkah ini sekali gus membantu perniagaan meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan menembusi pasaran yang lebih luas.
Ketua Pegawai Eksekutif DNB Datuk Azman Ismail berkata fasa seterusnya bagi syarikat itu akan menumpukan kepada pengukuhan rangkaiannya, membolehkan pertumbuhan industri dan menterjemahkan pelaburan infrastruktur kepada nilai ekonomi.
Menurutnya DNB akan menggalakkan penerimagunaan 5G secara praktikal dalam sektor pembuatan, logistik, penjagaan kesihatan, pendidikan, pertanian dan bandar pintar, dengan peluang turut diperluas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Bagi PMKS, manfaat 5G perlu dapat dilihat secara nyata, termasuk operasi yang lebih cekap, keputusan yang lebih baik berasaskan data, kos lebih rendah dan akses kepada pasaran yang lebih luas.
“Inilah cara infrastruktur negara menyumbang kepada perniagaan yang lebih kukuh, industri yang lebih produktif dan hasil yang lebih baik untuk masyarakat,” katanya semasa berucap pada majlis pertukaran dokumen bagi meraikan kejayaan memuktamadkan kemudahan pembiayaan DNB bernilai RM5.2 bilion di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Azman berkata kesalinghubungan yang berkualiti tinggi dan berdaya tahan adalah asas penting bagi membolehkan aplikasi yang menggunakan data secara intensif dan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) untuk beroperasi pada skala besar.
Beliau berkata manfaat 5G perlu dinikmati oleh semua lapisan ekonomi, daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan kepada syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan, perusahaan tempatan dan PMKS.
Menurutnya peranan DNB adalah untuk menyediakan infrastruktur digital yang dipercayai serta platform kerjasama bagi membolehkan rakan kongsinya berinovasi, membezakan tawaran perkhidmatan mereka daripada pesaing dan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih berkesan.
Azman berkata DNB akan terus meningkatkan kualiti, kapasiti, daya tahan dan keupayaan rangkaiannya bagi memastikan ia kekal sebagai asas yang boleh dipercayai untuk ekonomi digital Malaysia.
Menurutnya kejayaan memuktamadkan kemudahan pembiayaan berjangka Islam bersindiket berjumlah RM5.2 bilion ini mengukuhkan kedudukan kewangan DNB, menyokong kemampanan jangka panjang syarikat dan mengekalkan keupayaannya untuk melabur dalam rangkaian.
“Ia juga memperkukuh keupayaan kami untuk beroperasi secara bebas, bertanggungjawab dan berdisiplin dari segi komersial ketika Malaysia melaksanakan model dwirangkaian 5G,” katanya.
Menurut DNB, kemudahan pembiayaan itu yang dimuktamadkan pada 29 Sept 2026, telah membiayai semula kemudahan kredit pusingan DNB yang dijamin kerajaan di samping mewujudkan struktur pembiayaan jangka panjang yang mampan bagi menyokong pertumbuhan syarikat pada masa hadapan.
Menurut Azman, kejayaan 5G pada akhirnya akan dinilai berdasarkan lebih daripada sekadar liputan dan kelajuan rangkaian.
“Ia akan diukur berdasarkan peluang yang diwujudkannya untuk perniagaan kecil menembusi pasaran baharu, industri bersaing di peringkat global, masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan yang lebih baik dan Malaysia menyertai sepenuhnya ekonomi digital,” katanya.
-- BERNAMA