BERITA TERKINI   Rang Undang-Undang Infrastruktur Digital (Pusat Data) akan digubal dan dibentang kepada Kabinet tahun depan -- Kementerian Ekonomi | Kementerian Ekonomi bentang Rangka Kerja Ekonomi Kitaran, teraju peralihan nasional daripada model ekonomi linear "guna-buang" | MTEN teliti 3 keutamaan dasar strategik pacu pertumbuhan mampan, perkukuh daya tahan ekonomi negara -- Kementerian Ekonomi | Sukan Para Asia 2026: Pelumba berbasikal trek para Zuhairie Ahmad Tarmizi rangkul emas sulung negara dalam acara ujian masa 1000m C4-5 lelaki | 

MAMBA Gesa Pelaksanaan Strategi Nasional Menyeluruh Bantu Perniagaan Jadi Peneraju Global

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Persatuan Perniagaan Mikro Malaysia (MAMBA) menggesa pelaksanaan strategi menyeluruh di peringkat nasional bagi memupuk dan membangunkan perniagaan Malaysia sehingga mampu menjadi peneraju di peringkat serantau dan global.

Persatuan itu menerusi satu kenyataan memaklumkan satu pelan tindakan nasional “Buatan Malaysia” amat diperlukan bagi melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, membangunkan semula industri domestik serta melahirkan generasi baharu syarikat multinasional Malaysia.

Menurutnya, kemasukan produk import berharga rendah yang semakin meningkat khususnya dari China, boleh menjejaskan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta daya saing industri Malaysia dalam tempoh jangka panjang.

Ad Banner

“PMKS Malaysia semakin terpaksa bersaing dengan produk import yang dihasilkan pada skala yang sangat besar, selalunya pada harga yang tidak mampu ditandingi oleh perniagaan tempatan.

“Jika keadaan ini berterusan tanpa kawalan, ia berisiko memusnahkan perniagaan yang mewujudkan peluang pekerjaan tempatan, melahirkan usahawan Malaysia dan menyokong komuniti kita,” kata Setiausaha Agung MAMBA Low Wei Yan.

Beliau berkata meskipun pengguna mungkin mendapat manfaat daripada produk import yang lebih murah pada peringkat awal, kesan jangka panjang akibat kehilangan keupayaan pembuatan domestik, termasuk pekerjaan dan pendapatan yang diwujudkannya, boleh membawa kemudaratan yang jauh lebih besar.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Malaysia perlu mengembalikan cita-cita dan pemikiran strategik yang pernah mendorong pembangunan industri tempatan utama serta syarikat yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa, kata Low.

Menurut MAMBA, tanpa strategi nasional yang dirancang secara khusus, jurang antara sebilangan kecil syarikat besar yang mempunyai rangkaian global dengan jutaan perniagaan kecil dan isi rumah yang bergantung pada ekonomi domestik yang rancak akan terus melebar.

Justeru, persatuan tersebut mencadangkan agar kerajaan membangunkan pelan tindakan menyeluruh bagi pembangunan industri dan perusahaan berteraskan konsep “Buatan Malaysia”, dengan mengambil iktibar daripada inisiatif Made in China 2025 oleh China serta strategi pembangunan perindustrian nasional lain yang berjaya.

-- BERNAMA

 

TAG:


NAMS NAMS ZK