Platform Lazada Malaysia Catat Peningkatan 20 Peratus Dalam Jenama
KUALA LUMPUR 20 Okt (Bernama) -- Lazada Malaysia merekodkan peningkatan hampir 20 peratus dari tahun ke tahun dalam bilangan jenama pada platformnya kepada 21,756 menjelang September 2026 berbanding hanya 18,147 tahun sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kaya Qin berkata lonjakan itu mewakili tambahan 3,609 nama jenama yang direkodkan, memberikan pembeli opsyen perbandingan dalam lebih banyak jenama di platformnya.
"Sementara itu, purata nilai pesanan meningkat 22.4 peratus dalam tempoh yang sama, manakala purata perbelanjaan bagi setiap pembeli menokok tujuh peratus," katanya pada persidangan media Lazada and Cube Asia '2026 eCommerce Savvy Shopper Report' di sini hari ini.
Penyelidikan baharu itu ditauliahkan oleh Lazada dan dijalankan oleh Cube Asia.
Lazada Malaysia melalui satu kenyataan berkata 20 peratus daripada pembeli dalam talian di Malaysia dilihat sebagai golongan yang bijak, namun mereka menyumbang 25 peratus daripada perbelanjaan e-Dagang.
“Mereka membelanjakan 36 peratus lebih setiap bulan berbanding pembeli umum, melangkaui 31 peratus perbezaan perbelanjaan serantau dan mewakili anggaran jurang perbelanjaan pasaran tahunan yang dianggarkan US$900 juta.
"Walaupun bahagian pembeli yang bijak Malaysia berada di bawah purata serantau 24 peratus, penyelidikan menunjukkan peluang untuk mengukuhkan tabiat membeli-belah, terutamanya dalam pengesahan," katanya.
Lazada Malaysia berkata ini memberi peluang kepada platform, jenama dan penjual untuk menjadikan maklumat produk serta penjual lebih mudah disemak.
"Sudah menjadi tabiat, yang mana, 62 peratus responden Malaysia akan menyemak butiran penjual sebelum membeli.
"Perihalan produk yang jelas, maklumat penjual yang disahkan dan jaminan keaslian boleh membantu lebih ramai pengguna membeli-belah dengan yakin," katanya.
Lazada Malaysia berkata penemuan ini mengukuhkan empat keutamaan iaitu menjadikan penjual yang dipercayai lebih mudah dikenal pasti, nilai lebih mudah diakses, perlindungan yang lebih baik dan alatan digital yang lebih berguna sebelum serta selepas pembelian.
Qin berkata matlamat syarikat adalah untuk membantu rakyat Malaysia berbelanja dengan baik, dan bukannya berbelanja lebih.
"Bagi Lazada, ini bermakna menjadikan penjual yang dipercayai lebih mudah dikenal pasti, penawaran senang untuk dibandingkan dan perlindungan tanpa kerenah.
"Ia juga adalah mengenai bagaimana sesuatu jenama dan penjual boleh memperoleh keyakinan pengguna, membina kredibiliti selain menggalakkan urus niada berulang," katanya.
Pengasas Bersama Cube Asia, Simon Torring turut membentangkan penemuan itu.
-- BERNAMA