SKA Capital Sasar Kutip RM72.3 Juta Menerusi IPO
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- SKA Capital Bhd, penyedia penyelesaian kejuruteraan infrastruktur tenaga, menyasarkan kutipan RM72.3 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) bagi memperkukuh keupayaan melaksanakan beberapa projek secara serentak serta membida kontrak infrastruktur tenaga yang lebih besar dan bernilai tinggi.
Kumpulan itu hari ini melancarkan prospektus IPO sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 11, Nov 2026.
Dalam kenyataan hari ini, SKA Capital memaklumkan hasil IPO itu akan digunakan terutamanya untuk membeli mesin dan peralatan, memenuhi keperluan bon pelaksanaan bagi projek akan datang serta membiayai modal kerja, manakala bakinya diperuntukkan bagi perbelanjaan penyenaraian.
Menurutnya, IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 168.075 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 43 sen sesaham serta tawaran jualan sebanyak 72.4 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
“Daripada saham baharu itu, sebanyak 44.77 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 8.95 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak serta telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan, 111.93 juta saham kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala 2.40 juta saham kepada pelabur terpilih.
“Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 895.5 juta saham, SKA Capital dijangka mempunyai permodalan pasaran indikatif sebanyak RM385.1 juta selepas penyenaraian,” menurut kenyataan itu.
Pengarah Urusan Datuk Subas Kumar Ambairam berkata sektor infrastruktur tenaga Malaysia terus mendapat manfaat daripada pelaburan berterusan, dengan Tenaga Nasional Bhd memperuntukkan jumlah perbelanjaan modal sebanyak RM18 bilion bagi 2026 dan, di bawah Belanjawan 2027, RM15 bilion khusus untuk memperkukuh grid elektrik negara.
“Komitmen berterusan terhadap daya tahan, peluasan dan pemodenan grid, selain peningkatan permintaan elektrik, pembangunan pusat data dan integrasi tenaga boleh baharu, terus mewujudkan peluang kepada SKA Capital.
“Kami percaya IPO ini akan menjadi pemangkin kepada kumpulan untuk merebut peluang berkenaan dengan memperkukuh kedudukan kewangan dan keupayaan pelaksanaan kami, sekali gus membolehkan kami membida projek yang lebih besar dan kompleks serta melaksanakan beberapa projek secara serentak,” katanya.
Setakat 21 Sept 2026, kumpulan itu mempunyai baki buku pesanan belum dilaksanakan bernilai kira-kira RM313.4 juta, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan daripada projek kejuruteraan pencawang dan kejuruteraan utiliti bawah tanah yang sedang dilaksanakan.
SKA Capital memaklumkan kumpulan itu terus aktif menyertai proses tender dan yakin dapat memperoleh kontrak baharu bagi menambah semula buku pesanannya serta memacu pertumbuhan, disokong oleh usaha mendapatkan projek infrastruktur tenaga yang lebih besar dan kompleks, di samping memperluas pangkalan pelanggannya.
Menurutnya, hasil kumpulan meningkat daripada RM44.4 juta pada tahun kewangan 2023 kepada RM241.4 juta pada 2025. Bagi tempoh kewangan lima bulan berakhir 31 Mei 2026, hasil meningkat 45.4 peratus kepada RM119.2 juta berbanding RM82 juta dalam tempoh sama setahun sebelumnya.
Melalui anak-anak syarikatnya, SKA Capital menyediakan perkhidmatan kejuruteraan pencawang, termasuk kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan; perkhidmatan kejuruteraan utiliti bawah tanah; serta perdagangan peranti elektrik, peralatan elektrik dan bahan pembinaan.
TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO itu.
-- BERNAMA