Sidang Kemuncak Alibaba.com Tawar Peluang Perdagangan Digital, AI Kepada PKS Malaysia
KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Persidangan Alibaba.com B2B AI Seller Summit 2026 dan pertandingan CoCreate Pitch Malaysia 2026 menawarkan peluang kepada perniagaan Malaysia menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan perdagangan digital untuk berkembang ke pasaran global.
Acara yang berlangsung pada 16 Oktober 2026 itu mempamerkan inovasi daripada 10 usahawan Malaysia dalam pelbagai bidang, termasuk pertanian, akuakultur, produk kecantikan halal, kesihatan, pembuatan, serta teknologi keselamatan, mencerminkan kepelbagaian perniagaan tempatan dan potensi mereka untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Dalam kalangan finalis CoCreate Pitch Malaysia 2026, LettuBoost meraih tempat pertama atas kejayaan menghasilkan produk makanan ikan daripada tumbuhan akuatik invasif serta biojisim lain, sekali gus menawarkan alternatif kepada makanan ikan konvensional.
Global Cerah, yang membangunkan bahan untuk makanan ternakan dan makanan haiwan peliharaan daripada hasil sampingan pertanian, meraih tempat kedua, manakala Eartheories, yang membangunkan sistem cadangan wangian dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), menduduki tempat ketiga.
Ketiga-tiga pemenang itu berpeluang untuk menghadiri CoCreate Global Summit 2026 di London pada November.
Para finalis lain turut mengetengahkan inovasi yang merangkumi pelbagai industri, termasuk Brewcoa, teh coklat bebas kafein yang dihasilkan daripada kulit buah koko oleh Awen Global.
Sementara itu, ADTEC JTM Kampus Batu Pahat membangunkan 'Smart Palm Sickle' (sabit pintar), alat penuaian kelapa sawit yang ditambah baik dan direka untuk mengurangkan tenaga fizikal yang diperlukan bagi memotong tandan buah, manakala Inai Republic pula mempamerkan produk kecantikan halal mereka, termasuk pewarna rambut berasaskan inai yang direka khusus untuk pengguna Muslim.
AquFish pula menggunakan kamera dalam air dan kecerdasan buatan (AI) untuk membantu penternak ikan memantau tumbesaran ikan serta mengoptimumkan pemberian makanan, manakala Hydroplant membangunkan input pertanian berasaskan mikrob untuk meningkatkan kesihatan tanah dan pertumbuhan tanaman.
Chino & Apex Pet Hotel membangunkan Veyra, platform digital yang menggabungkan sistem pengenalan haiwan peliharaan, ciri-ciri keselamatan Sistem Penentududukan Global (GPS), serta rekod kesihatan haiwan tersebut.
Galaxy Fire Alarm Service pula memperkenalkan Mini Fire Alarm System (sistem penggera kebakaran mini) yang direka untuk menyediakan amaran kebakaran serta perlindungan keselamatan elektrik bagi kediaman dan perniagaan kecil.
Pertandingan itu menarik lebih daripada 2,300 permohonan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), syarikat pemula niaga, bakal usahawan, serta inovator daripada kalangan pelajar dari seluruh negara, dengan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM500,000 bagi menyokong pertumbuhan perniagaan.
Pada masa yang sama, Alibaba.com memperkenalkan Accio, ejen AI plug-and-play (pasang dan pakai) miliknya di Malaysia, yang membolehkan perniagaan meneroka peluang pasaran, mencari pembekal, serta mengenal pasti rakan pembuatan.
Ketua Alibaba.com bagi rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara Roger Luo berkata perniagaan di Malaysia mempunyai keupayaan pembuatan yang kukuh serta produk berkualiti, namun banyak PKS masih berdepan dengan cabaran untul memahami pasaran luar negara dan beroperasi hanya dengan sumber yang terhad.
“Keusahawanan berasaskan produk semakin bergantung bukan sahaja kepada memiliki idea yang bernas, malah kepada usaha mengubah idea tersebut menjadi produk sebenar serta menghubungkannya dengan peluang pasaran global,” katanya.
Para peserta turut menggunakan Accio untuk mencari pembekal global, mengenal pasti rakan pembuatan, serta memperkukuh pelan perniagaan mereka, yang mana menunjukkan bagaimana AI dapat menyokong usahawan dalam membangunkan produk dan membuat persediaan untuk menembusi pasaran baharu.
Sementara itu, sidang kemuncak tersebut turut menekankan kepentingan kerjasama dalam membantu PKS Malaysia memperkukuh kesediaan eksport mereka serta menjangkau pembeli antarabangsa.
Alibaba.com dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memeterai satu memorandum persefahaman bagi memperkukuh perdagangan digital dan kesediaan eksport, termasuk rancangan mewujudkan sebuah 'Pavilion Halal' khusus di platform tersebut bagi mempamerkan produk halal Malaysia yang diperakui kepada pembeli antarabangsa.
Sementara itu, UOB Malaysia juga akan menyokong PKS melalui kepakaran kewangan dan rangkaian serantaunya, yang melengkapi ekosistem perdagangan digital Alibaba.com bagi membantu perniagaan mendapatkan akses kepada penyelesaian pembiayaan serta berkembang ke peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA