BERITA TERKINI   Nahas tren: Kedutaan Malaysia di Madrid belum sahkan rakyat Malaysia terlibat - Wisma Putra | Laporan siasatan Jawatankuasa Khas Siasatan Berkaitan Isu Jenayah Kewangan akan dibentang kepada Jemaah Menteri sebelum dimaklumkan kepada orang awam - AGC | Laporan siasatan Jawatankuasa Khas Siasatan Berkaitan Isu Jenayah Kewangan akan dibentang kepada Jemaah Menteri sebelum dimaklumkam kepada orang awam - AGC | 

SPRM Masih Jalankan Siasatan Pelaburan KWAP Dalam eFishery - MoF

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan proses siasatan terhadap pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia eFishery. 

Menurutnya siasatan yang dijalankan belum menemukan sebarang unsur salah laku jenayah melibatkan rasuah atau penyelewengan berkaitan pelaburan KWAP dalam eFishery seperti yang dilaporkan media pada 13 Ogos 2026.

Kementerian memaklumkan KWAP juga telah bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan serta konsortium pelabur dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Ad Banner
Ad Banner

“Pada masa yang sama, usaha melalui saluran yang bersesuaian bagi memaksimumkan pemulihan nilai pelaburan terus dilaksanakan,” menurutnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.  

Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Kalam Salan (PN-Sabak Bernama) yang meminta kerajaan mengesahkan pelaburan KWAP kira-kira RM200 juta dalam eFishery yang terdedah kepada penipuan.

Selain itu, beliau turut meminta penjelasan mengenai pihak yang meluluskan pelaburan itu dan bertanggungjawab atas kegagalan usaha wajar, nilai kerugian sebenar dan sama ada KWAP akan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuai.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut MoF,  pelaburan dalam eFishery telah melalui proses penilaian dan tadbir urus yang ditetapkan termasuk pengesahan juruaudit antarabangsa bertauliah berdasarkan maklumat yang tersedia ketika itu.

Bagaimanapun, menurutnya syarikat berkenaan kemudiannya didapati terlibat dalam manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat.

“Keadaan ini berlaku walaupun proses penilaian yang dilaksanakan telah merangkumi penilaian dalaman, usaha wajar bebas serta penelitian terhadap aspek kewangan, perundangan dan operasi sebelum cadangan pelaburan diluluskan.

“Malah, beberapa pelabur institusi global utama turut terjejas akibat salah laku berkenaan,” menurutnya.

Menurut kementerian jumlah sebenar pelaburan KWAP dalam eFishery sebanyak RM163.4 juta dan mewakili kira-kira 2.51 peratus pegangan saham dalam syarikat tersebut.

MoF memaklumkan KWAP merupakan pemegang saham minoriti dalam eFishery manakala sebahagian besar saham syarikat tersebut dipegang oleh pelabur lain termasuk pelabur institusi global utama.

-- BERNAMA