BERITA TERKINI   ACL2: Gangwon FC 1-0 Kuching City FC | MY EG turut dikenakan tindakan saman sivil oleh kerajaan Malaysia berhubung perkara ini - Zetrix AI | MY EG Sdn Bhd terima taksiran cukai pendapatan tambahan daripada LHDN berjumlah RM353.13 juta, termasuk penalti, bagi tahun taksiran 2021, 2022 dan 2023 - Zetrix AI | Pemeteraian CSA Kerajaan MADANI dengan Bersatu dan pembangkang jadi landasan perkukuh kestabilan politik, agenda pembangunan negara - Anwar | Laporan kaitkan JCorp dengan kebakaran hutan di Indonesia tidak berasas, palsu - MB Johor | 

Ringgit Teruskan Aliran Meningkat Berbanding Dolar, Disokong Langkah Fed Kekalkan Kadar Faedah

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar AS pada Khamis susulan keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) untuk mengekalkan kadar faedahnya pada paras 3.75 peratus hingga 4.00 peratus, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0575/0620 berbanding dolar AS, daripada paras penutup 4.0745/0790 pada Rabu.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata para pelabur akan memantau pengukur inflasi pilihan Fed iaitu indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE)  yang dijadual diumumkan malam ini.

Indeks tersebut dijangka meningkat kepada 3.1 peratus pada September, berbanding 3.0 peratus pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata Fed AS dijangka menaikkan semula kadar faedahnya pada Disember, memandangkan inflasi dijangka kekal tinggi dalam tempoh terdekat ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Bagaimanapun keputusan dasar monetari adalah dinamik, jadi jangkaan kenaikan 25 mata asas pada Disember bukanlah sesuatu yang pasti.

“Ini terutamanya memandangkan keyakinan pengguna masih lemah, dengan kos sara hidup tinggi menjejaskan kuasa beli mereka, yang seterusnya akan mengurangkan perbelanjaan mereka pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan ringgit ditutup tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4009/4069 daripada 5.4130/4190 pada Rabu, meningkat berbanding euro kepada 4.5176/5226 daripada 4.5337/5387, serta naik berbanding yen Jepun kepada 2.5685/5715 daripada 2.5812/5843 sebelum ini.

Ringgit juga ditutup tinggi berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1665/1702 daripada 3.1775/1813 pada Rabu, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 223.7/224.0 daripada 224.0/224.4, menokok berbanding baht Thailand kepada 12.0165/0345 daripada 12.0726/0902, serta menambah berbanding peso Filipina kepada 6.35/6.36 daripada 6.36/6.37. 

-- BERNAMA