BERITA TERKINI   Polis tahan seorang lelaki, rampas ganja bernilai RM3.2 juta yang dipercayai cuba diseludup ke London menerusi LTAPP - Ketua Polis Pulau Pinang | Pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM4.5 trilion daripada RM4.3 trilion tahun lepas – pengarah eksekutif SC | Pelabur China Tunjuk Potensi Pelaburan AS$15 Bilion di Malaysia dalam Enam Sektor – Ahmad Zahid | Bekalan makanan negara mencukupi sekurang-kurangnya enam bulan, tiada keperluan laksana langkah kecemasan - Ahmad Zahid | 

Prosper Trading Kemuka Tawaran Ambil Alih United Malacca Pada RM6.10 Sesaham

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- United Malacca Bhd (UMB) menerima tawaran pengambilalihan mandatori bersyarat daripada Prosper Trading Sdn Bhd dan dua pihak pembeli muktamad bersama untuk mengambil alih baki 111.36 juta saham, mewakili 53.09 peratus daripada jumlah saham terbitannya pada harga RM6.10 sesaham secara tunai.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perladangan itu berkata tawaran berkenaan tertakluk kepada penerimaan sah oleh Prosper Trading, dua pihak pembeli muktamad bersama dan individu yang bertindak secara bersama (PAC) sehingga pegangan saham kolektif mereka melebihi 50 peratus daripada saham UMB yang mempunyai hak mengundi.

Menurut dokumen tawaran, Prosper Trading memperoleh 28.19 juta saham, mewakili kira-kira 13.44 peratus daripada jumlah saham terbitan UMB, daripada Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd pada harga RM171.93 juta atau RM6.10 sesaham pada 12 Ok,t 2026.

Ad Banner
Ad Banner

Susulan pengambilalihan itu, pegangan saham kolektif Prosper Trading, dua pihak pembeli muktamad bersama dan PAC dalam UMB meningkat kepada 99.97 juta saham, mewakili kira-kira 47.66 peratus daripada jumlah saham terbitan syarikat itu.

Mengenai rasional pengambilalihan itu, dokumen tawaran menyatakan ia dibuat susulan keputusan komersial bersama antara Prosper Trading dengan Great Eastern, yang berhasrat merealisasikan pelaburannya dalam UMB, manakala Prosper Trading pula ingin meningkatkan pelaburannya dalam kumpulan itu.

“Berdasarkan jumlah pegangan saham yang terlibat, pengambilalihan itu memberikan peluang kepada pihak pembeli untuk memperoleh pegangan besar dalam saham UMB secara langsung daripada penjual, berbanding melalui pembelian di pasaran,” menurut dokumen itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Harga tawaran itu mewakili premium 2.52 peratus berbanding harga urus niaga terakhir UMB sebanyak RM5.95 pada 9 Okt 2026, iaitu hari dagangan terakhir sebelum notis tawaran dikeluarkan.

Mengenai perancangan masa depan, Prosper Trading dan dua pihak pembeli muktamad bersama berhasrat meneruskan perniagaan sedia ada Kumpulan UMB, yang sebahagian besarnya melibatkan penanaman kelapa sawit.

“Pihak pembeli dan dua pihak pembeli muktamad bersama tidak berhasrat mengubah perniagaan sedia ada Kumpulan UMB kerana pengambilalihan itu bertujuan meningkatkan kepentingan ekuiti mereka dalam UMB dan bukan memperkenalkan perubahan kepada operasi perniagaan atau hala tuju strategik sedia ada kumpulan itu,” menurut dokumen berkenaan.

Pihak pembeli juga tidak mempunyai perancangan segera untuk membuat perubahan besar terhadap perniagaan sedia ada kumpulan itu, membubarkan mana-mana anak syarikat, melupuskan aset utama atau melaksanakan penempatan semula besar-besaran aset tetap.

Selain itu, pada masa ini mereka juga tidak merancang untuk memberhentikan atau mengurangkan tenaga kerja sedia ada kumpulan itu, meskipun perubahan kepada aturan pekerjaan atau penempatan semula kakitangan mungkin berlaku susulan langkah rasionalisasi dan penyusunan semula perniagaan bagi meningkatkan produktiviti kakitangan serta kecekapan operasi.

Sementara itu, pihak pembeli berhasrat mengekalkan penyenaraian UMB di Pasaran Utama Bursa Malaysia dan akan bekerjasama dengan syarikat itu untuk meneroka pilihan bagi menangani sebarang kemungkinan ketidakpatuhan terhadap syarat pegangan saham awam.

Tawaran itu dijadualkan ditutup pada 5 petang, 23 Nov 2026, melainkan disemak semula atau dilanjutkan.

-- BERNAMA