BERITA TERKINI   Polis tahan seorang lelaki, rampas ganja bernilai RM3.2 juta yang dipercayai cuba diseludup ke London menerusi LTAPP - Ketua Polis Pulau Pinang | Pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM4.5 trilion daripada RM4.3 trilion tahun lepas – pengarah eksekutif SC | Pelabur China Tunjuk Potensi Pelaburan AS$15 Bilion di Malaysia dalam Enam Sektor – Ahmad Zahid | Bekalan makanan negara mencukupi sekurang-kurangnya enam bulan, tiada keperluan laksana langkah kecemasan - Ahmad Zahid | 

HSBC Unjur Ringgit Diniagakan 4.10-4.20 Berbanding Dolar AS Pada 2027

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam julat 4.10 hingga 4.20 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2027 berbanding julat semasa 4.05 hingga 4.10, menurut HSBC Global Investment Research.

Ketua Penyelidik Pertukaran Asing (FX) Asia HSBC Joey Chew berkata unjuran itu mengambil kira jangkaan pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah utama pada Disember.

“Langkah itu akan memberi sedikit sokongan terhadap dolar AS menjelang akhir tahun ini dan memasuki tahun depan,” katanya pada sesi pelancaran kemudahan pertukaran asing FX on Mobile HSBC Malaysia yang dipertingkatkan di sini, hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Bagi tempoh berbaki tahun ini, Chew berkata ringgit dijangka diniagakan dengan kecenderungan meningkat berbanding paras julat semasa.

“Pilihan raya pertengahan penggal AS yang bakal diadakan ini juga berpotensi prospek dolar AS secara menyeluruh meskipun impak terhadap tidak secara langsung,” katanya.

Menyentuh prospek dasar monetari domestik, beliau berkata pasukan ekonomi HSBC menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada suku pertama 2027.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Mengulas sama ada faktor seperti inflasi yang secara relatif sederhana dan persekitaran ekonomi domestik yang lebih baik akan memberi BNM ruang untuk menurunkan kadar faedah itu walaupun terdapat tekanan terhadap ringgit, Chew berpendapat sebaliknya.

“Selagi harga minyak kekal tinggi, inflasi kekal menjadi kebimbangan selain tekanan inflasi berkaitan El Nino di seluruh Asia, saya menjangkakan tiada mana-mana bank pusat, termasuk Malaysia yang inflasinya secara relatif adalah terkawal, mempunyai ruang untuk mempertimbangkan langkah menurunkan kadar faedah,” katanya.

Dalam pada itu, penambahbaikan ciri FX mudah alih HSBC itu termasuk FX Watchlist bagi pemantauan mata wang tertentu, FX Charts bagi melihat sejarah atau rekod pergerakan pertukaran asing manakala FX Rate Alerts bagi tujuan makluman apabila mata wang terbabit mencecah kadar faedah tertentu.

Pelanggan juga boleh menukar mata wang asing itu menerusi aplikasi berkenaan pada bila-bila masa menggunakan kadar tukaran masa nyata manakala pelanggan HSBC Premier boleh memindahkan dana ke lebih 50 negara dan wilayah menerusi perkhidmatan Global Money Transfers tanpa dikenakan sebarang fi atau caj pemindahan.

-- BERNAMA