Handal Energy Akan Fail Rayuan Berhubung Nyahsenarai Bursa Pada 10 November
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Handal Energy Bhd sedang menyediakan representasi bertulis kepada Bursa Malaysia Securities Bhd bagi menjelaskan faktor syarikat itu tidak seharusnya dinyahsenaraikan dan akan mengemukakannya pada 10 Nov, 2026.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tenaga yang disenaraikan di Pasaran Utama itu menjelaskan pihaknya telah menerima surat daripada Bursa Securities yang meminta pihaknya memberi penjelasan mengapa sekuritinya tidak wajar dinyahsenaraikan daripada Senarai Rasmi Bursa Securities.
Arahan itu tertakluk di bawah Perenggan 9.28(6) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
“Notis itu dikeluarkan selepas Bursa Securities mendapati syarikat gagal mengumumkan laporan tahunannya yang merangkumi penyata kewangan tahunan yang telah diaudit berserta laporan juruaudit dan pengarah, bagi tempoh kewangan berakhir 31 Dis, 2025,” tambahnya.
Handal Energy menyatakan laporan tahunan itu sepatutnya dikemukakan pada 30 April, 2026, seiring dengan Perenggan 9.23(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, namun masih belum dikemukakan selepas melebihi tempoh enam bulan.
“Lembaga pengarah syarikat akan membuat pengumuman lanjut mengenai sebarang perkembangan penting dari semasa ke semasa,” jelasnya.
-- BERNAMA