BERITA TERKINI   Polis tahan seorang lelaki, rampas ganja bernilai RM3.2 juta yang dipercayai cuba diseludup ke London menerusi LTAPP - Ketua Polis Pulau Pinang | Pasaran modal Malaysia berkembang kepada RM4.5 trilion daripada RM4.3 trilion tahun lepas – pengarah eksekutif SC | Pelabur China Tunjuk Potensi Pelaburan AS$15 Bilion di Malaysia dalam Enam Sektor – Ahmad Zahid | Bekalan makanan negara mencukupi sekurang-kurangnya enam bulan, tiada keperluan laksana langkah kecemasan - Ahmad Zahid | 

JS-SEZ Luluskan Pelaburan Cecah RM88.83 Bilion, 45 Peratus Direalisasikan

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 2 Nov (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) mencatatkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM88.83 bilion antara Januari 2025 dan Jun 2026, dengan potensi mewujudkan 28,755 peluang pekerjaan, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata 45 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu bernilai RM40.30 bilion telah direalisasikan, melibatkan projek yang dijangka mencipta 12,796 peluang pekerjaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Dalam hal ini, ia bukan sekadar mempunyai potensi yang besar; cabaran sebenar dan komitmen kedua-dua negara adalah untuk merealisasikan prospek ini bagi menjana hasil yang benar-benar bagus.

"Jadi, sudah tentu kita mahu mengekalkan momentum yang baik ini, dan ia akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara, kepada rakyat, serta kepada komuniti perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama selepas mempengerusikan mesyuarat sulung Jawatankuasa Menteri bagi Kerjasama Johor–Singapura (JSCMC) bersama Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat. Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Akmal Nasrullah berkata JSCMC merupakan langkah strategik oleh kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama dua hala, meningkatkan penyelarasan, serta memantau pelaksanaan inisiatif keutamaan di bawah JS-SEZ.

Satu Jawatankuasa Menteri Bersama ditubuhkan di bawah JSCMC, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Ekonomi Malaysia dan Menteri Pembangunan Negara Singapura.

Wakil Malaysia akan terdiri daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Menteri Besar Johor, manakala Singapura akan diwakili oleh Menteri Tenaga dan Industri serta Menteri Pengangkutannya.

Akmal Nasrullah berkata bahawa kedua-dua negara turut bersetuju untuk menganjurkan forum pelaburan bersama pada suku pertama 2027.

Sementara itu, beliau berkata pelan induk JS-SEZ yang dijadual dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Disember 2026 bakal membawa prospek yang lebih baik bagi zon ekonomi tersebut dalam masa terdekat.

"Dengan adanya pelan induk ini, kita menjangkakan momentum bagi 2027 akan menjadi lebih tinggi, dari segi komitmen kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu, Chee berkata pelan induk JS-SEZ itu akan menampilkan visi jangka sederhana hingga jangka panjang apa yang ingin dicapai oleh kedua-dua negara bagi rantau ini.

Bagi merealisasikan visi yang digariskan dalam pelan induk JS-SEZ itu beliau berkata pelbagai agensi daripada kedua-dua negara perlu bekerjasama rapat untuk memperkukuh kerjasama serta memantau pelaksanaan inisiatif tertentu.

Ini termasuk pembangunan bakat, memudahkan pergerakan orang dan barangan, menggalakkan perdagangan dan pelaburan, serta meningkatkan pengangkutan dan kesalinghubungan.

"Saya berpandangan semua ini merupakan elemen sokongan penting untuk menghidupkan pelan induk tersebut serta merealisasikan manfaat bagi kerjasama yang saling menguntungkan," katanya.

-- BERNAMA