Pasaran Getah Ditutup Bercampur-campur
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup dengan prestasi bercampur-campur pada Isnin ketika ringgit lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran turut didorong oleh suntikan mudah tunai daripada bank pusat China bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan kebimbangan mengenai bekalan susulan musim hujan di negara pengeluar utama.
“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh data pembuatan China yang bercampur-campur, sentimen yang lebih lemah dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga penanda aras minyak mentah yang lebih rendah, sementara ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat serta ketegangan perdagangan yang berterusan antara Kesatuan Eropah-China memberikan tekanan tambahan,” katanya kepada Bernama.
“Menurut Jabatan Meteorologi Thailand, selatan Thailand dijangka mengalami hujan ribut yang lebih meluas dan hujan lebat di kawasan tertentu bermula 4 hingga 7 November,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata niaga hadapan getah Jepun merosot memandangkan harga minyak yang lebih rendah dan saham Asia yang lebih lemah telah menjejaskan sentimen pasaran.
“Harga minyak yang susut lebih satu peratus di tengah-tengah rundingan damai AS-Iran yang kembali diadakan melibatkan pegawai Iran dan Qatar,” katanya.
Katanya lagi, China menunjukkan senario industri pembuatan yang bercampur-campur dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan rasmi berada pada paras 49.3, manakala sektor pembuatan swasta terus berkembang pada Oktober dengan PMI pembuatan pada paras 52.0.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 10 sen kepada 1,004.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut satu sen kepada 786.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA