Kenanga Naikkan Unjuran Pertumbuhan Pinjaman 2026 Kepada 5.5-6.0 Peratus, Jangka OPR Kekal
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd menaikkan unjuran pertumbuhan pinjaman tahun ini kepada 5.5 peratus hingga enam peratus, berbanding jangkaan lima peratus hingga 5.5 peratus sebelum ini, dengan unjuran tersebut dijangka berterusan hingga 2027.
Bank pelaburan tersebut memaklumkan permintaan pinjaman kekal berdaya tahan pada suku ketiga tahun ini disokong oleh permintaan dalam negeri, projek pelaburan yang berterusan serta perbelanjaan infrastruktur.
“Pada suku keempat 2026, cabaran luaran, peningkatan kos perniagaan, serta pertumbuhan global yang lebih perlahan mungkin meredakan aktiviti peminjaman korporat.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan perbelanjaan isi rumah yang kukuh serta momentum pelaburan yang berterusan akan mengekalkan pertumbuhan kredit dalam julat sasaran kami,” menurut bank tersebut dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Mengenai prospek Kadar Dasar Semalaman (OPR), Kenanga menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkannya pada paras 2.75 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada November.
“Secara keseluruhannya inflasi kekal terkawal meskipun peningkatan lebih tinggi daripada jangkaan dan lonjakan harga tenaga, dengan kesan pusingan kedua yang terhad setakat ini,” maklum bank itu.
Menurut Kenanga, inflasi mungkin meningkat sedikit dalam bulan-bulan akan datang, namun kenaikan tersebut dijangka berlaku secara beransur-ansur dan tidak menyeluruh.
Sementara itu, kecairan dalam sistem perbankan kekal mencukupi, walaupun nisbah perlindungan kecairan menyusut ke paras terendah dalam tempoh enam bulan iaitu 144.8 peratus pada September (Ogos: 145.9 peratus), yang menunjukkan tiada tekanan pendanaan atau kecairan yang mendesak.
“Memandangkan terdapat kapasiti berlebihan dalam ekonomi dan sokongan terhadap pertumbuhan masih menjadi keutamaannya, BNM dijangka tidak tergesa-gesa untuk melaraskan dasar,” maklumnya.
-- BERNAMA