Petronas, Rakan Kongsi Meterai Perjanjian 'Farm-out' Bagi Medan Gas Luar Pesisir Sarawak
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi anak syarikat milik penuhnya Petronas Carigali Sdn Bhd memeterai Farm Out Agreement (FOA) dengan rakan kongsi usaha samanya.
Perjanjian itu melibatkan medan gas SK410B Lang Lebah dan B14 yang terletak di luar pesisir Sarawak.
Rakan kongsi usaha sama berkenaan iaitu TotalEnergies, Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company (KUFPEC) dan PTT Exploration and Production (PTTEP) terlibat dalam perjanjian itu, yang bertujuan menggalakkan pembangunan sumber gas secara lebih bersepadu merangkumi kedua-dua medan itu, masing-masing di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) SK410B dan PSC B14.
Selepas urusan berkenaan dimuktamadkan, TotalEnergies akan mengambil alih peranan sebagai operator bagi kedua-dua medan gas itu.
"Langkah pembangunan bersepadu itu dijangka membolehkan penyelarasan yang lebih baik antara kedua-dua medan, sekali gus mengoptimumkan perancangan infrastruktur, pembangunan kemudahan dan menjana keuntungan sumber di samping meningkatkan kecekapan projek serta mewujudkan nilai jangka panjang untuk Sarawak dan Malaysia," menurut Petronas dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya perjanjian FOA itu adalah pencapaian penting dalam usaha merealisasikan nilai sumber gas di medan SK410B Lang Lebah dan B14.
"Dengan menyelaraskan tanggungjawab pengendalian dan perancangan pembangunan bagi kedua-dua PSC, pihak yang terlibat dalam usaha sama itu berada pada kedudukan lebih baik untuk mengoptimumkan sumber, meningkatkan kecekapan pelaksanaan serta mempercepat penyempurnaan projek," menurut Petronas.
Selepas perjanjian FOA dimuktamadkan, kepentingan penyertaan dalam setiap PSC akan dipegang oleh TotalEnergies sebanyak 30 peratus selaku operator, PTTEP (25 peratus), KUFPEC (25 peratus) dan Petronas Carigali (20 peratus).
Penyempurnaan perjanjian FOA itu masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.
Pihak yang terlibat mengadakan majlis memeterai FOA itu pada 1 Nov 2026 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu bersempena dengan Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2026 iaitu antara perhimpunan utama industri tenaga dunia.
"Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen berterusan Petronas untuk membangunkan sumber gas Malaysia secara bertanggungjawab, menyokong keselamatan tenaga jangka panjang dan mewujudkan nilai mampan kepada industri tenaga Malaysia dan pihak berkepentingannya," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA