BERITA TERKINI   Rasuah masalah sistemik, perlu terus dibanteras dengan tegas - PM Anwar | PM Anwar tegaskan kadar yuran rawatan asas di fasiliti kesihatan awam perlu dikekalkan agar rakyat tidak terbeban | PM Anwar setuju cadangan masukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah bantu pelajar urus tekanan | Kerajaan akan kaji cadangan penubuhan dana kekayaan AI untuk manfaat rakyat Malaysia - PM Anwar | PM Anwar jamin hak penduduk asal terus dipertahankan menerusi RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) | 

Belanjawan: Naik Taraf Pasar Buntong Berusia 70 Tahun Tangani Isu Keselamatan, Infrastruktur

Oleh Muhamad Adzhar Tajudin

IPOH, 3 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan projek menaik taraf Pasar Buntong di sini mampu mengatasi pelbagai masalah yang sekian lama dihadapi peniaga dan orang awam, terutama berkaitan aspek keselamatan serta keadaan infrastruktur yang semakin uzur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong M. Thulsi berkata naik taraf pasar berusia lebih 70 tahun itu dirangka berlandaskan pelbagai aduan yang diterima daripada orang awam serta hasil penelitian menyeluruh menerusi lawatan turun padang yang dilakukan pihak berwajib.

Ad Banner

“Aduan harian dan hasil tinjauan kami mendapati struktur pasar lama ini tidak lagi mampu menampung keperluan semasa, terutama dari segi keselamatan, sistem perparitan dan kesesakan lalu lintas yang kerap berlaku.

“Selain itu, kerja-kerja menaik taraf ini juga dijangka memberi keselesaan kepada para peniaga dan pengunjung dalam urusan jual beli di pasar yang telah wujud lebih 70 tahun itu,” katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Khidmat ADUN Buntong di sini baru-baru ini.

Pada 9 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan bagi projek kecil di kawasan pihak berkuasa tempatan ditingkatkan kepada hampir RM700 juta, meliputi kerja-kerja menaik taraf taman, tandas dan gerai awam menerusi Belanjawan 2027.

Ad Banner
Ad Banner

Tumpuan turut diberikan kepada pembinaan gerai MADANI serta pembangunan semula beberapa kompleks penjaja dan pasar awam, termasuk Pasar Buntong, Kompleks Penjaja Jalan Chui Yin di Bentong, Pahang serta tapak penjaja Hill Trace di Georgetown, Pulau Pinang.

Thulsi ketika mengulas tempoh pelaksanaan kerja naik taraf di pasar itu berkata ia akan mengambil masa antara empat hingga lima tahun untuk disiapkan melalui kerjasama antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Majlis Bandaraya Ipoh.

Beliau berkata tumpuan akan diberikan terhadap penambahbaikan fasiliti, ruang niaga, sistem saliran serta penyediaan kemudahan mesra warga emas dan Orang Kurang Upaya.

“Kami berharap proses menaik taraf ini akan disiapkan mengikut perancangan yang ditetapkan selain memastikan impaknya dapat dirasai oleh seluruh komuniti di DUN Buntong, khususnya peniaga dan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebuah pasar sementara bernilai RM2 juta sedang dibina berdekatan tapak asal bagi menjamin kelangsungan pendapatan kira-kira 230 peniaga sepanjang kerja naik taraf dijalankan, dijangka siap selewat-lewatnya awal tahun depan.

Sementara itu, seorang penduduk R. Gomaty, 64, berkata pengumuman mengenai perancangan pembangunan semula pasar berkenaan amat menggembirakan kerana struktur pasar sedia ada sudah jauh ketinggalan dan tidak memiliki ciri-ciri keselamatan sepertimana ditetapkan.

Beliau berkata keadaan itu turut menyebabkan ramai penduduk setempat beralih arah dan mencari barangan keperluan harian di tempat lain yang lebih selesa.

“Sekarang ini, rata-rata pembeli beralih ke tempat lain kerana mahu mengelak daripada kesukaran mendapatkan parkir serta keadaan persekitaran yang kotor,” katanya.

Gomaty berkata peruntukan bagi menaik taraf pasar itu juga membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan masalah yang berlaku di Pasar Buntong.

-- BERNAMA