BERITA TERKINI   MARA digesa bekerjasama dengan industri susun keperluan tenaga mahir isi 25,100 potensi pekerjaan baharu di Melaka - TPM Ahmad Zahid | PM Anwar arah projek tebatan banjir Sungai Buloh dan Sungai Damansara dipercepat untuk atasi isu banjir | IOI Properties Malaysia REIT sasar hasil IPO sebanyak RM2.1 bilion pada harga 96 sen sesaham menjelang penyenaraian di Pasaran Utama pada 25 Nov | e-Invois, instrumen penting untuk menegakkan keadilan, mengesan ketidakpatuhan dan memastikan semua pihak menunaikan tanggungjawab yang sewajarnya - PM Anwar | Kutipan cukai langsung kasar bagi 10 bulan pertama 2026 meningkat 5.8 peratus kepada RM174.48 bilion berbanding RM164.92 bilion bagi tempoh sama tahun lepas - PM Anwar | 

2.14 Bilion E-invois Dikemukakan Setakat 2 Nov, Bukan Untuk Kenakan Cukai Baharu - PM

CYBERJAYA, 3 Nov (Bernama) -- Sebanyak 2.14 bilion e-invois dikemukakan oleh kira-kira 269,900 pembayar cukai setakat 2 Nov lepas, namun pelaksanaannya bukan bertujuan mengenakan cukai baharu atau menambah beban percukaian kepada rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebaliknya, e-invois merupakan instrumen penting untuk menegakkan keadilan, mengesan ketidakpatuhan dan memastikan semua pihak menunaikan tanggungjawab percukaian masing-masing.

Beliau berkata penggunaan teknologi terkini, analisis data dan automasi penting dalam memperkukuh pentadbiran percukaian. Bagaimanapun, keputusan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada teknologi tanpa pertimbangan manusia, khususnya apabila melibatkan hak dan kepentingan rakyat.

Ad Banner
Ad Banner

“AI tidak mempunyai nilai akhlak dan kemanusiaan. Teknologi memiliki kepintaran, tetapi tidak dapat menggantikan akal budi, nurani dan pertimbangan manusia,” katanya dalam teks ucapan sempena Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2026 anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) yang dibacakan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kemajuan teknologi perlu sentiasa dipandu oleh nilai manusiawi bagi memastikan penggunaannya memberi manfaat kepada masyarakat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata adalah tidak adil sekiranya pekerja yang jujur terus membayar cukai daripada pendapatan mereka, sedangkan pihak yang memiliki sumber kewangan lebih besar menyembunyikan pendapatan melalui pelbagai lapisan urusan niaga dan helah perakaunan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa keadilan percukaian menuntut undang-undang dilaksanakan secara saksama. Warga LHDN perlu tegas terhadap pengelakan cukai yang disengajakan, namun pada masa sama mengamalkan budi bicara berlandaskan undang-undang terhadap pembayar cukai yang memerlukan bantuan dan bimbingan.

Sementara itu, Anwar berkata 2027 dijangka terus mencabar berikutan konflik berpanjangan di Asia Barat, gangguan bekalan dan tekanan harga tenaga serta risiko cuaca ekstrem akibat fenomena El Niño yang boleh menjejaskan kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, Belanjawan MADANI Kelima 2027 menggembleng sumber sebanyak RM510 bilion, termasuk perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM459.8 bilion, bagi meneruskan pembangunan, memperkukuh daya tahan ekonomi dan membela rakyat.

“Kutipan hasil yang adil dan berkesan penting untuk menjayakan ikhtiar ini,” katanya.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga LHDN atas sumbangan mereka dalam memperkukuh kedudukan hasil negara.

“Teruskan usaha menguasai teknologi, meningkatkan kecekapan serta memelihara integriti dalam setiap amanah.

“Namun, di sebalik kemajuan teknologi dan angka kutipan, jangan sekali-kali dilupakan manusia yang menjadi asas setiap dasar dan tindakan kita. Laksanakan amanah bukan sahaja dengan integriti, tetapi juga dengan ihsan, kebijaksanaan dan memaknai nilai manusiawi,” tegasnya.

-- BERNAMA