DEFA ASEAN Luaskan Peluang Pasaran Syarikat Malaysia
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Perjanjian Kerangka Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang dijadualkan ditandatangani November ini bakal membuka peluang luas kepada syarikat Malaysia untuk memasarkan dan mengeksport produk mereka ke pasaran ASEAN yang mempunyai 690 juta penduduk.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata kerajaan menggalakkan syarikat tempatan meneroka peluang mengeksport perkhidmatan ke seluruh rantau ASEAN, termasuk Filipina, Indonesia, Thailand dan Vietnam, khususnya dalam sektor perbankan dan teknologi maklumat.
Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia juga perlu bersedia menghadapi persaingan lebih sengit apabila negara anggota ASEAN lain turut berpeluang memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di pasaran domestik.
“Nasihat saya kepada syarikat Malaysia, sama ada dalam sektor perkhidmatan serta pembuatan, ialah kita perlu menerima perkembangan ini, meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai, meneroka pasaran baharu serta berani mengeksport produk dan perkhidmatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa ASEAN (AIFTIS) 2026, yang diadakan bersempena Ekspo Industri Pintar China-Malaysia (CMIIE), di sini hari ini.
Sementara itu, Sim berkata perdagangan perkhidmatan Malaysia dijangka terus mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh pada 2026, disokong aktiviti berkaitan pusat data.
“Pada 2025, jumlah perdagangan perkhidmatan negara mencecah RM550.5 bilion. Eksport perkhidmatan meningkat 15.6 peratus kepada RM277.9 bilion, berbanding import sebanyak RM272.6 bilion. Ini menghasilkan lebihan dagangan RM5.3 bilion, sekali gus mencatatkan lebihan perdagangan perkhidmatan pertama Malaysia sejak 2011,” katanya.
Mengulas hala tuju sektor itu, Sim berkata Malaysia perlu membangunkan kepakaran domestik yang lebih mendalam secara terancang, melahirkan tenaga kerja berkemahiran teknikal khusus serta memastikan syarikat tempatan beralih kepada segmen perkhidmatan berasaskan pengetahuan yang lebih kompleks dan bernilai tinggi.
“Malaysia tidak boleh terus menjadi pasaran pasif yang sekadar menggunakan teknologi canggih. Kita seharusnya perlu membangunkan ekosistem yang membolehkan teknologi termaju dinilai secara kritis, disesuaikan, diintegrasikan dan dikomersialkan oleh tenaga kerja mahir serta syarikat tempatan untuk dimanfaatkan di peringkat serantau dan global,” katanya.
Sim berkata Malaysia juga perlu memperkukuh integrasi serantau, mengurangkan halangan peraturan, menyelaraskan piawaian profesional, membangunkan koridor digital serta memudah cara pergerakan tenaga kerja antara negara ASEAN dan China.
Menurut beliau pasaran domestik yang berpecah-pecah tidak mampu menyediakan skala yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global.
“Kita perlu meletakkan asas ekonomi pada perkhidmatan bernilai tinggi dan berintensifkan kepakaran. Kita perlu beralih daripada proses transaksi asas kepada bidang kejuruteraan bernilai margin tinggi, tadbir urus data kompleks, kecerdasan buatan gunaan, pembangunan harta intelek dan khidmat perundingan strategik,” katanya.
-- BERNAMA