BERITA TERKINI   MARA digesa bekerjasama dengan industri susun keperluan tenaga mahir isi 25,100 potensi pekerjaan baharu di Melaka - TPM Ahmad Zahid | PM Anwar arah projek tebatan banjir Sungai Buloh dan Sungai Damansara dipercepat untuk atasi isu banjir | IOI Properties Malaysia REIT sasar hasil IPO sebanyak RM2.1 bilion pada harga 96 sen sesaham menjelang penyenaraian di Pasaran Utama pada 25 Nov | e-Invois, instrumen penting untuk menegakkan keadilan, mengesan ketidakpatuhan dan memastikan semua pihak menunaikan tanggungjawab yang sewajarnya - PM Anwar | Kutipan cukai langsung kasar bagi 10 bulan pertama 2026 meningkat 5.8 peratus kepada RM174.48 bilion berbanding RM164.92 bilion bagi tempoh sama tahun lepas - PM Anwar | 

TERAJU Lonjak Industri Ternakan Ikan Kelah, Jana Ekonomi Bernilai Tinggi - Akmal Nasrullah

JOHOR BAHRU, 3 Nov (Bernama) -- Inisiatif pemerkasaan industri ternakan kelah bernilai tinggi di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) terbukti berkesan dalam merintis rantaian ekosistem akuakultur air tawar negara yang mampan, berdaya saing serta menawarkan potensi pendapatan lumayan.

​Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek penternakan ikan kelah komersial yang bermula sejak 2022 dengan peruntukan RM2.2 juta, kini menyaksikan limpahan manfaat ketara yang melangkaui sektor keusahawanan.

​Beliau berkata penternakan ikan kelah memerlukan tempoh matang dua hingga dua tahun setengah bagi menghasilkan pulangan optimum.

Ad Banner
Ad Banner

“Bagi menjamin kestabilan aliran tunai pengusaha sepanjang tempoh menunggu, program berkenaan memperkenalkan model penternakan sampingan ikan tilapia bagi memberi kitaran hasil yang lebih pantas.

​"Dari segi potensi ekonomi, program berkenaan menyasarkan pulangan dengan pengusaha mampu menjana pendapatan sehingga mencecah RM6,000 sebulan manakala purata semasa diraih sekitar RM4,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pengiktirafan Impak Pemerkasaan Industri Kelah Bernilai Tinggi Melalui Inovasi dan Ekosistem Living-Lab Bersepadu di Dusun Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

​Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi serta Ahli Lembaga yang mewakili Naib Canselor UTM Prof Ts Dr. Abd Latif Saleh.

Mengulas selanjutnya, Akmal Nasrullah berkata walaupun projek berjangka masa lima tahun itu turut menumpukan segmen khusus ikan kelah, limpahan manfaatnya juga merangkumi aspek pengukuhan penyelidikan akademik bersama UTM serta pembangunan pengusaha tempatan.

​"Antara kejayaan ketara adalah dalam aspek penyelidikan melalui kerjasama strategik dengan UTM yang turut dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga mahasiswa," katanya.

​Beliau berkata inisiatif TERAJU bukan setakat memperkasa usahawan secara individu, malah berjaya memperkukuh ekosistem industri akuakultur tempatan secara keseluruhan untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Perniagaan dan Keusahawanan TERAJU Mohd Najib Jaafar berkata projek yang bermula pada 2022 dan dijadualkan berakhir pada 2027 itu melibatkan penyertaan seramai 15 peserta daripada golongan B40 di Johor.

​Beliau berkata peruntukan sebanyak RM2.2 juta itu merangkumi pembinaan infrastruktur kolam, perolehan benih ikan kelah berkualiti tinggi serta pembangunan keupayaan pusat pembenihan tempatan agar pengusaha tidak lagi bergantung kepada bekalan benih luar pada masa hadapan.

Setiap peserta diperuntukkan sebanyak tiga buah kolam daripada sejumlah keseluruhan 45 kolam yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik bersama UTM dan rakan industri.

Fasa pelaksanaan tiga tahun pertama itu, katanya, kini memasuki tempoh penuaian hasil bagi tahun 2026 dan 2027 dengan harga pasaran jualan ikan kelah dijangka mencecah RM400 hingga RM600 sekilogram.

​"Kita ingin membangunkan program akuakultur merangkumi ikan berharga premium yang boleh memberi pulangan kepada peserta atau golongan B40. Kita mahukan pendapatan dapat melebihi paras garis kemiskinan negara iaitu lebih kurang dalam RM2,500 sebulan," katanya.

Peserta program Md Rashid Musa, 44, berkata inisiatif itu tidak hanya membuka lembaran baharu dalam sektor akuakultur moden, tetapi berjaya mengubah landskap ekonomi golongan sasar menerusi bimbingan teknikal yang komprehensif.

​Beliau berkata projek penternakan merangkumi 1,500 ekor ikan bagi tiga kolam yang diusahakannya, kini menunjukkan perkembangan positif dalam fasa pengkomersialan.

​"Permintaan sangat tinggi dari luar terutama Singapura kerana isi ikan ini bersifat eksotik. Bimbingan berterusan pasukan UTM pula memastikan setiap aspek pengurusan berjalan lancar biarpun pada mulanya bidang ini agak sukar diceburi," katanya.

-- BERNAMA