BERITA TERKINI   MARA digesa bekerjasama dengan industri susun keperluan tenaga mahir isi 25,100 potensi pekerjaan baharu di Melaka - TPM Ahmad Zahid | PM Anwar arah projek tebatan banjir Sungai Buloh dan Sungai Damansara dipercepat untuk atasi isu banjir | IOI Properties Malaysia REIT sasar hasil IPO sebanyak RM2.1 bilion pada harga 96 sen sesaham menjelang penyenaraian di Pasaran Utama pada 25 Nov | e-Invois, instrumen penting untuk menegakkan keadilan, mengesan ketidakpatuhan dan memastikan semua pihak menunaikan tanggungjawab yang sewajarnya - PM Anwar | Kutipan cukai langsung kasar bagi 10 bulan pertama 2026 meningkat 5.8 peratus kepada RM174.48 bilion berbanding RM164.92 bilion bagi tempoh sama tahun lepas - PM Anwar | 

Pulau Pinang Perlu Pelbagaikan Ekonomi Kurangkan Kebergantungan Sektor E&E

GEORGE TOWN, 3 Nov (Bernama) -- Pulau Pinang perlu mempergiat usaha mempelbagaikan sektor ekonominya bagi mengurangkan risiko kebergantungan tinggi terhadap industri elektrik dan elektronik (E&E), khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global dan perubahan kitaran industri teknologi.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Bertam) berkata meskipun sektor E&E menjadi tulang belakang ekonomi negeri, kebergantungan berlebihan terhadap industri itu mendedahkan Pulau Pinang kepada risiko kelembapan permintaan global, gangguan teknologi dan perubahan keutamaan pelaburan.

Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata Pulau Pinang menyumbang RM503.11 bilion atau 70.6 peratus daripada eksport E&E Malaysia pada 2025, manakala sektor itu merangkumi 82.3 peratus daripada keseluruhan eksport barangan Pulau Pinang dan menyediakan lebih 200,000 peluang pekerjaan.

Ad Banner
Ad Banner

“Dengan lebih 80 peratus eksport Pulau Pinang bergantung kepada sektor E&E, kita perlu bertanya sama ada ekonomi negeri cukup bersedia menghadapi kelembapan permintaan global, gangguan teknologi atau perubahan keutamaan pelaburan," katanya ketika membahaskan Belanjawan Pulau Pinang 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Reezal Merican mencadangkan supaya satu Strategi Kepelbagaian Industri Pulau Pinang yang komprehensif dibangunkan bagi membina industri-industri pelengkap bernilai tinggi berasaskan kekuatan sedia ada negeri.

Antara sektor yang dicadangkan termasuk perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), teknologi perubatan dan peranti perubatan (MedTech), kejuruteraan berketepatan tinggi, mesin dan automasi, aeroangkasa serta teknologi hijau dan ekosistem kenderaan elektrik (EV).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, Reezal Merican turut menggesa kerajaan negeri memperkukuh ekosistem pembiayaan teknologi menerusi Pusat Kewangan Teknologi Pulau Pinang (PTFC) dengan dana pelaburan strategik sebanyak RM100 juta.

“Pusat berkenaan perlu menyediakan akses pembiayaan menyeluruh kepada syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengkomersialan sehingga pengembangan perniagaan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan negeri membentangkan Kertas Putih, Pelan Tindakan Strategik dan pelan pelaksanaan PTFC di Persidangan DUN untuk penelitian bersama.

Pada pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Pulau Pinang sebagai Pusat Kewangan Teknologi Negara. 

Susulan pengumuman itu, Khazanah Nasional Bhd dan Invest Penang akan mewujudkan dana RM100 juta bagi membantu syarikat semikonduktor dan pembuatan termaju pada peringkat awal pertumbuhan.

-- BERNAMA