BERITA TERKINI   MTL: Johor kenal pasti 337 lokasi tumpuan banjir, 67 jalan raya berisiko - Exco | MARA digesa bekerjasama dengan industri susun keperluan tenaga mahir isi 25,100 potensi pekerjaan baharu di Melaka - TPM Ahmad Zahid | 

Trg Inc Cari Rakan Strategik Bangun Semula Taman Tema Tasik Kenyir

KUALA TERENGGANU, 3 Nov (Bernama) -- Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Trg Inc) sedang mencari rakan strategik bagi membangunkan semula taman tema air di Pulau Poh, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Trg Inc Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata pembangunan taman tema itu dijangka dilaksanakan pada skala lebih besar bagi menarik lebih ramai pengunjung, sekali gus mempelbagaikan lagi aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir.

Beliau berkata pembangunan kemudahan pelancongan itu penting bagi memanjangkan tempoh penginapan pelancong di Terengganu, khususnya dengan menyediakan lebih banyak aktiviti rekreasi serta hiburan untuk pengunjung yang datang daripada pelbagai latar belakang.

Ad Banner
Ad Banner

"Saya harap dalam (tempoh) enam bulan ini kita dapat buat balik (taman tema air) Tasik Kenyir, sebab itu boleh dijadikan tarikan pelancongan.

"Kalau nak buat kena dalam skala lebih besar sikit. Mungkin kena habiskan dalam RM3 juta untuk bangunkan balik taman tema ini. Ada beberapa pihak yang berminat dan sedang buat penilaian...kita sedang tunggu perkembangan," katanya kepada pemberita selepas Program ESG Affairs 2026, di sini, hari ini.

Kenyir Water Park yang dibina dengan kos sebanyak RM7.5 juta dan dibuka pada 31 Mei 2015 terpaksa ditutup pada 2017 akibat beberapa masalah termasuk isu penyelenggaraan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu Burhanuddin Hilmi berkata seramai 200 peserta menghadiri Program ESG Affairs 2026 itu  yang diadakan bertujuan memperjelas keutamaan ekonomi, membina pemahaman bersama mengenai kekuatan, kekangan struktur dan peluang kepelbagaian ekonomi Terengganu serta memperkukuh industri berdaya saing.

Beliau berkata kumpulan sasar termasuk agensi kerajaan dan agensi pembangunan, pemimpin perniagaan, pengamal industri, pelabur, institusi kewangan, profesional bidang kelestarian dan tadbir urus, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan, institusi pendidikan dan pembangunan bakat serta organisasi komuniti dan pelaburan sosial.             

"ESG Affairs 2026 distrukturkan menerusi empat forum yang saling berkaitan, dengan setiap forum memberi tumpuan kepada komponen berbeza dalam ekosistem ekonomi negeri.

"Diharap peserta akan memperoleh pemahaman lebih jelas mengenai keutamaan ekonomi negeri, idea praktikal untuk pelaksanaan perniagaan dan pelaburan sosial serta potensi kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti," katanya.

Burhanuddin Hilmi berkata ESG Affairs 2026 bukan sekadar forum membincangkan kelestarian alam sekitar, tetapi juga platform kepimpinan ekonomi yang menghubungkan empat aspek utama iaitu kedudukan ekonomi negeri, daya saing industri, pembangunan sosial dan kesiapsiagaan pelaburan.

   -- BERNAMA