BERITA TERKINI   Harga RON97 turun 20 sen seliter, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 15 sen seliter bagi tempoh 5 hingga 11 Nov - MoF | Kerajaan luluskan peruntukan lebih RM250 juta untuk memperkukuh pembangunan ECRL di Kelantan - MOF | Kanak-kanak lelaki enam tahun maut terjatuh dalam kolam takungan di Kulai, Johor - Bomba | Bayaran STR bagi pemohon baharu dan rayuan diluluskan dibuat mulai 16 Nov - MOF | Bayaran kepada penerima sedia ada STR dibuat secara berperingkat mulai 4 hingga 6 November 2026 -- MoF | 

AirAsia Jangka Barisan Menunggu Lebih Panjang Sempena Deepavali, Nasihat Penumpang Tiba Awal

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- AirAsia Group Bhd memberi amaran bahawa barisan menunggu di kaunter daftar masuk lapangan terbang, pemeriksaan keselamatan dan imigresen mungkin lebih panjang daripada biasa sepanjang tempoh cuti Deepavali yang akan datang.

Ini berikutan jangkaan meningkatnya jumlah penumpang dan syarikat penerbangan itu menasihatkan para penumpang supaya tiba lebih awal bagi mengelakkan kelewatan.

Ia memaklumkan penumpang dinasihatkan tiba sekurang-kurangnya dua jam sebelum penerbangan domestik dan tiga jam sebelum penerbangan antarabangsa untuk memastikan terdapat masa yang mencukupi bagi urusan daftar masuk dan prosedur lain di lapangan terbang.

Ad Banner
Ad Banner

“Kaunter daftar masuk akan ditutup sejam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2 KLIA) dan 45 minit sebelum waktu berlepas di lapangan terbang lain di Malaysia bagi penerbangan domestik,” menurut kenyataan syarikat itu hari ini.

AirAsia memaklumkan penumpang boleh menyemak status penerbangan dan mendapatkan maklumat terkini perjalanan melalui aplikasi AirAsia MOVE, manakala mereka yang telah melengkapkan daftar masuk dalam talian boleh menggunakan kiosk di lapangan terbang untuk mencetak tag bagasi sebelum ke kaunter penyerahan bagasi layan diri.

“Bagi perjalanan antarabangsa, penumpang mesti memenuhi syarat kemasukan bagi setiap negara yang akan dituju atau dilalui (transit), termasuklah keperluan visa,” tambah kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut syarikat penerbangan itu, ciri Pengesahan Visa Automatik (AVC) membolehkan penumpang yang melakukan perjalanan ke destinasi yang memerlukan visa atau Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA) mengesahkan kebanyakan dokumen perjalanan mereka secara masa nyata semasa proses daftar masuk dalam talian mulai 14 hari sehingga sejam sebelum waktu berlepas.

“Anda hanya perlu daftar masuk melalui aplikasi AirAsia MOVE atau laman web airasia.com, mengimbas pelekat visa dalam pasport atau muat naik e-visa apabila diminta dan pas masuk elektronik akan dikeluarkan serta-merta selepas pengesahan selesai.

“Sekiranya pengesahan tidak berjaya, penumpang hanya perlu ke kaunter daftar masuk di lapangan terbang untuk pemeriksaan dokumen secara manual,” tambahnya.

AirAsia memaklumkan perkhidmatan daftar masuk di kaunter hanya disediakan kepada penumpang yang mempunyai pergerakan terhad, mereka yang melakukan perjalanan bersama bayi berusia bawah 24 bulan, wanita hamil, warga emas dan penumpang muda yang melakukan perjalanan bersendirian.

Sementara itu, syarikat penerbangan berkenaan turut menggalakkan pemegang pasport Malaysia memuat turun aplikasi MyNIISe atau MyBorderPass bagi memudahkan urusan pemeriksaan imigresen di Terminal 2 KLIA.

Ia turut memaklumkan bahawa penumpang boleh menggunakan pas masuk elektronik melalui aplikasi AirAsia MOVE.

“Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa di lapangan terbang tertentu, penumpang masih dikehendaki mencetak pas masuk di kaunter lapangan terbang untuk tujuan pengesahan,” tambahnya.

-- BERNAMA