Bahagian Awam IPO MyDCD Terlebih Langgan 36.46 Kali
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Bahagian tawaran awam permulaan (IPO) penyedia perkhidmatan kejuruteraan MyDCD Bhd yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia mencatat terlebih langgan sebanyak 36.46 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Menurutnya dalam kenyataan hari ini, sebanyak 28,816 permohonan bagi 3.36 bilion saham terbitan awam telah diterima daripada orang awam Malaysia, sekali gus mencatatkan kadar terlebih langgan keseluruhan sebanyak 36.46 kali.
“Secara khusus, sebanyak 13,378 permohonan bagi 1.12 bilion saham terbitan awam telah diterima untuk bahagian bumiputera, mewakili kadar terlebih langgan 24.0 kali.
“Sementara itu, sebanyak 15,438 permohonan bagi 2.24 bilion saham terbitan awam telah diterima bagi bahagian awam Malaysia yang lain, mewakili kadar terlebihan langgan 48.92 kali,” menurut MyDCD.
Menurutnya selain itu sebanyak 36 juta saham terbitan awam yang diperuntukkan untuk permohonan oleh pihak yang layak telah dilanggan sepenuhnya.
IPO MyDCD merangkumi terbitan awam sebanyak 335 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 145 juta saham sedia ada, masing-masing pada harga 56 sen sesaham.
Daripada jumlah saham terbitan awam itu, sebanyak 89.70 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 36 juta saham kepada pihak yang layak, 50.71 juta saham kepada pelabur terpilih melalui tawaran saham persendirian dan 158.59 juta saham kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sementara itu, tawaran untuk jualan merangkumi 79.34 juta saham yang ditawarkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih dan 65.66 juta saham melalui kaedah yang sama kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan MITI.
TA Securities Holdings Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO itu.
Ejen penempatan itu mengesahkan bahawa sebanyak 130.05 juta saham IPO (terdiri daripada 50.71 juta saham terbitan awam dan 79.34 juta saham tawaran) yang disediakan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih dan 224.25 juta saham IPO (terdiri daripada 158.59 juta saham terbitan awam dan 65.66 juta saham tawaran) yang diperuntukkan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan MITI, telah ditempatkan sepenuhnya.
Notis peruntukan saham akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 12 Nov 2026.
-- BERNAMA