Unit Konsortium Waja Peroleh kontrak Bangunan Bernilai Rm190 Juta Di Johor Bahru
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Waja Build Tech Sdn Bhd (WBTSB), anak syarikat pegangan 51 peratus kepentingannya dimiliki oleh Waja Konsortium Bhd telah memperoleh kontrak bernilai RM190 juta daripada Affluent Crafts Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja di bangunan utama dan kerja-kerja luaran bagi satu pembangunan kediaman bercampur di Johor Bahru.
Syarikat pembinaan tersebut dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan bahawa WBTSB telah menerima surat penganugerahan bertarikh 21 Oktober, 2026 daripada Affluent Crafts pada 4 November, 2026 yang melantiknya sebagai kontraktor utama bagi projek berkenaan.
“Tempoh kontrak adalah selama 24 bulan bermula dari tarikh permulaan kerja.
“Pembangunan ini merangkumi satu blok pangsapuri servis 26 tingkat dengan 824 unit, enam tingkat podium tempat letak kereta, dua tingkat tempat letak kereta separa bawah tanah, satu podium kemudahan serta pondok pengawal berserta kemudahan-kemudahan berkaitan,” menurut Waja Konsortium.
Kontrak berkenaan turut merangkumi satu blok rumah bandar mampu milik tiga tingkat (Jenis C) yang terdiri daripada 24 unit, berserta pejabat pengurusan, pencawang elektrik kompak, dan kemudahan pengumpulan sampah berpusat.
Projek itu terletak di Jalan Suria Muafakat Utama, Mukim Bandar Johor Bahru.
-- BERNAMA