BERITA TERKINI   Rasuah masalah sistemik, perlu terus dibanteras dengan tegas - PM Anwar | PM Anwar tegaskan kadar yuran rawatan asas di fasiliti kesihatan awam perlu dikekalkan agar rakyat tidak terbeban | PM Anwar setuju cadangan masukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah bantu pelajar urus tekanan | Kerajaan akan kaji cadangan penubuhan dana kekayaan AI untuk manfaat rakyat Malaysia - PM Anwar | PM Anwar jamin hak penduduk asal terus dipertahankan menerusi RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) | 

Dapur Siswa MADANI Noktahkan Episod "Ikat Perut" Mahasiswa UiTM Pulau Pinang 

Oleh Siti Azila Alias

BUKIT MERTAJAM, 5 Nov (Bernama) -- Mengikat perut dan hanya beralaskan air kosong sebelum melangkah ke dewan kuliah bukanlah satu pilihan, sebaliknya realiti perit yang pernah dialami segelintir mahasiswa demi memastikan kelangsungan pengajian di menara gading.

Pengalaman pahit itu diakui penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh, Izzat Izzani Iswandi, 23, yang berkongsi bahawa beliau pernah menahan lapar semata-mata mahu menjimatkan wang saku harian.

Ad Banner

Namun, kepayahan itu kini terpadam susulan pengenalan inisiatif Dapur Siswa MADANI di kampus berkenaan yang bukan sekadar menjadi “talian hayat” meringankan beban sara hidup, malah menyuburkan amalan berkongsi rezeki serta mengeratkan ukhuwah sesama penuntut.

Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal itu berkata sejak memanfaatkan fasiliti tersebut pada semester dua, perbelanjaan makan hariannya yang sebelum ini mencecah RM30 kini berjaya dikurangkan kepada kira-kira RM10 hingga RM15 sahaja.

“Kadang-kadang kami kumpul duit (hasil penjimatan) sama-sama untuk beli barang, kemudian masak dan makan bersama-sama. Daripada berbelanja lebih di kafe atau luar kampus, lebih baik kami masak bersama-sama. Kami juga boleh cuba menu baharu,” katanya ketika ditemui Bernama di universiti berkenaan, baru-baru ini.

Ad Banner
Ad Banner

Kelegaan sama turut dikongsi Nor Ateqa Mazlan, 22, pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perhotelan yang mampu menjimatkan kira-kira RM50 seminggu menerusi inisiatif itu, berbanding terpaksa memperuntukkan hampir RM20 sehari bagi makan tengah hari dan malam sebelum ini.

Penghuni Kolej Kediaman Zamrud itu berkata kelengkapan seperti ketuhar gelombang mikro, pemanas air dan pembakar roti amat memudahkan mahasiswa menyediakan makanan sendiri, selain memanfaatkan bekalan makanan kering percuma seperti mi segera, biskut dan minuman.

Sementara itu, Bendahari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Kampus Permatang Pauh Nur Hizqin Mohd Saiful berkata pihaknya sebelum ini kerap menerima aduan daripada mahasiswa yang terhimpit dengan masalah kewangan sehingga menjejaskan kebajikan mereka dari segi makanan.

“Sekarang aduan semakin berkurangan selepas Dapur Siswa MADANI beroperasi, dan ini membuktikan inisiatif berkenaan amat wajar diperluas ke institusi lain,” kata pelajar tahun empat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia itu. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi meneruskan Program Dapur Siswa MADANI di universiti awam serta memperluas ke politeknik dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Ikhtiar komprehensif itu merangkumi penyediaan peralatan memasak, sumbangan bahan mentah dan penyediaan Menu Kasih Siswa pada harga serendah RM5, selain pemberian insentif potongan cukai kepada pihak penyumbang bagi tempoh 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2030.

Mengulas pelaksanaan pada peringkat kampus, Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang Norlida Che Rose memaklumkan lebih 600 mahasiswa B40 dikenal pasti sebagai kumpulan sasar program itu, yang mendapat sambutan luar biasa sehingga bekalan makanan kering ada kalanya habis dalam tempoh satu atau dua hari. 

Norlida berkata pihak universiti turut mengintegrasikan sistem imbasan kod QR bagi memantau kekerapan penggunaan fasiliti, sekali gus menjejaki penuntut yang berkemungkinan memerlukan bantuan sokongan lanjut.

“Bagaimanapun ada sebahagian mahasiswa B40 yang berasa segan untuk tampil menggunakan kemudahan atau mendapatkan bantuan, menyebabkan pendekatan secara peribadi turut dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang Dr Ahmad Asri Abd Samat berkata kelangsungan inisiatif tersebut disokong menerusi dana Tabung Kegiatan Pelajar di samping sumbangan berterusan daripada orang ramai

Beliau berkata pembekalan bahan asas seperti beras dan telur memberikan manfaat langsung kepada mahasiswa kerana mereka boleh menyediakan hidangan sendiri tanpa membebankan wang saku.

Sebagai kampus perintis inisiatif Dapur Hal Ehwal Pelajar (Dapur HEP) di Semenanjung selepas UiTM Sabah pada 2023, model yang diguna pakai UiTM Cawangan Pulau Pinang kini diangkat sebagai penanda aras serantau apabila menerima lawatan delegasi universiti dari Indonesia dan Thailand untuk diaplikasikan di institusi masing-masing.

-- BERNAMA